Published in Sinar Harian on January 6, 2009)
DI SAMPING menulis ulasan buku, saya juga kepingin untuk berkata sepatah-dua mengenai industri perfileman negara. Dekad yang lepas telah memberi nafas baru kepada industri itu dengan lahirnya karya-karya mantap seperti Anak Halal, Cinta, Buli, Jangan Pandang Belakang, Papadom, Gol & Gincu, Budak Kelantan dan Kami.
Langit filem kita juga bersinar cerah dengan filem-filem tulisan dan arahan Yasmin Ahmad seperti Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Mualaf dan Talentime. Tetapi Yasmin bintang istimewa, satu dalam sejuta. Bayangkan, jika menonton iklan Petronas ciptaan beliau sahaja boleh menitiskan airmata kita, apatah lagi bila menghayati cerita yang mendera kekuatan mental seperti Talentime.
Seperti juga buku dan majalah bercetak, filem adalah wasilah pengajaran, contoh dan hiburan dalam polar kehidupan kita hari ini. Bergantung kepada genre masing-masing, filem boleh – disamping berperanan memberi hiburan – mengangkat nama sesebuah negara di persada seni sejagat. Pendek kata, jika disuruh menyokong filem tempatan (selalunya apabila didesak oleh Tg. Iesta yang bertugas di Media Prima), saya adalah antara orang yang pertama berbaris untuk membeli tiket wayang!
Walau apa pun, terlebih dahulu saya menghulurkan kemaafan dalam bentuk prolog, sekiranya catatan saya minggu ini mencederakan hati sesiapa.
Dahulu, saya seorang yang pesimis apabila berbicara tentang filem tempatan. Apa tidaknya, kebanyakan filem di era 90-an didominasi kisah cinta picisan dan terlarang antara watak Watie dan Awie. Jika begitu rentaknya, fikir saya, tidak payahlah saya mendera diri ke panggung wayang. Bukan saya seorang yang kelat pendapat tentang cinta, tetapi sekiranya ingin membikin filem cinta, biarlah bermesej kental seperti yang ditulis oleh Habirurrahman El Shirazy. Kini, dengan lahirnya karya-karya yang disebut di atas, saya telah bertukar menjadi penyokong tegar filem tempatan dan Indonesia. Tetapi menyokong lain fitrahnya dengan melemparkan komentar. Hakikat tidak boleh disangkal dengan ulasan positif wartawan hiburan.
Sebenarnya komentari Santau ini telah saya derafkan semasa filem itu masih ditayangkan di layar perak. Namun, saya ralat sekiranya ulasan saya akan memberi dampak negatif kepada umum yang berniat untuk menonton filem itu di pawagam. Jadi sekarang, apabila filem itu sudah tidak dijadualkan lagi di pawagan-pawagam utama ibukota, barulah saya menghantar petikan ini kepada ketua pengarang untuk disiarkan.
Dan keseluruhan filem Santau, hakikatnya, tawar hambar dari perspektif kretiviti dan elemen seram. Kenapa saya berpendapat celupar sebegini? Enteng sahaja alasannya: Kalau anda sedang menonton filem seram tetapi seluruh pawagam ketawa berdekah-dekah, seolah-olah anda sedang menonton filem komedi, apakah natijah yang dapat disimpulkan tentang cerita yang kononnya yang paling seram buat masa ini?
Memetik suntingan seorang kolumnis di akhbar New Straits Times, Chok Suat Lin, filem seram negara boleh mengeluap logik di minda lebih cepat dari senapang bazooka. Antara adegan dan kelemahan filem Santau yang dikritik oleh kolumnis tersebut adalah: gerak bibir pelakon tidak sama dengan dialog (sungguh biasa); dua jiran yang tinggal sebelah-menyebelah, apabila berjumpa di majlis, menegur antara satu sama lain seolah-olah mereka sudah bertahun tidak bersua muka; dan watak bomoh yang kelihatan telah lama bersiap sedia untuk menghalau makhluk halus apabila dikunjungi oleh aktor Esma Danial yang membawa isterinya yang sedang dirasuk di tengah-tengah malam buta.
Kalau ‘hantu’ dikeluarkan selang 10 minit, bagaimana agaknya pengarah filem, Azhari Zain, boleh mengekalkan antisipasi dan rasa seram penonton? Selepas setengah jam filem diputarkan, naik kelakar pula melihat ‘hantu’ bawah katil yang asyik menyantau watak pendatang baru, Putri Mardiana, itu. Pendek kata, Santau sememangnya ‘menghiburkan’ hati saya dengan adegan-adegan seram tidak menjadi yang memancing rasa humor di dada . Alahai, filem Melayu…
Kutipan tiket lazimnya dijadikan kayu pengukur kejayaan sebuah filem tersebut, tak kira di Hollywood, Bollywood hatta di Malaysia sekali pun. Sebenarnya wujud banyak faktor yang mempengaruhi kutipan tiket – tidak semestinya filem yang mendapat kutipan tiket yang tinggi bermakna ianya filem yang bagus – sesebuah filem yang ditayangkan di layar perak itu. Musim cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum sepanjang bulan disember, yang berkebetulan pula dengan cuti sekolah, telah membuat nasib filem Santau lebih baik dari segi kutipan tiket berbanding dengan filem lain.
Pembikin filem di Malaysia harus ingat bukan wang di kantung sahaja yang perlu difikirkan. Bagi saya, setiap filem harus lengkap bukan sahaja dari sudut penataan cahaya dan bunyi, tetapi juga mesti merangkumi elemen kreativiti yang selaras dengan genre. Lebih molek lagi sekiranya filem tersebut direnjis dengan elemen-elemen sinis, kritikal, jenaka dan satira untuk dijadikan halwa telinga dan mata penonton.
- Elviza sudah lama jatuh cinta dengan sastera dan filem. Sekiranya mampu, beliau bermimpi untuk menulis skrip sehebat filem Laskar Pelangi.