Dalam Kenangan: Dalilah Tamrin (1967-2010)

(Published in Sinar Harian on 21 July 2010)

LANGIT PETANG di Tanah Perkuburan Kg. Labuhan Dagang menangis lewat Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi, saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.

Dunia penulis laman sesawang telah bertanggungjawab menemukan kami dalam lingkungan keakraban manusia. Persahabatan kami tidak tua usianya, baru empat tahun sejak pertama kali bertemu mata. Tetapi empat tahun itu getir. Apa yang saya belajar dari Dalilah, boleh diibaratkan seluas laut, setinggi gunung dan setala langit lepas.

Tuhan pertama kali menduga Dalilah ketika beliau berusia 37 tahun, di mana Dalilah telah didiagnosiskan mengidap kanser payudara. Bahagian payadara yang tercemar dengan kuman jahat itu segera dibedah dan dibuang jauh-jauh. Harap-harap sel-sel kanser itu tidak kembali mengganggu Dalilah. Selesai pembedahan payudara, enam kitaran chemoteraphy dan 24 sesi radiotherapy, Dalilah menarik nafas lega.

Tetapi rasa lega Dalilah cuma bertahan tiga tahun sehaja. Masuk tahun 2008, sekali lagi Tuhan menduga Dalilah. Kanser metastasis telah disahkan merebak ke bahagian hati, tulang rusuk, tulang selangkang dan rahang beliau. Penularan kanser di bahagian hati itu juga telah menempatkan Dalilah sebagai pesakit kanser kronik, tahap keempat.

Sekali lagi tubuh badan Dalilah menderita didera rawatan chemotherapy, yang bukan sahaja membunuh sel-sel kanser, tetapi juga setiap zarah sel-sel lain di badan. Tidak tertanggung mata melihat penderitaan Dalilah. Namun, berbekalkan dorongan suami dan anak-anak, Dalilah selesaikan juga enam kitaran DOCE chemotherapy dan lima sesi radiotheraphy.

Tidak juga mati kanser jahanam itu!

Pada bulan Julai 2009, para doktor dan pakar onkologi bijaksana telah memberi jangkaan bahawa Dalilah hanya ada 18 bulan untuk hidup. Ketika baru mengetahui diagnosis yang mengjengkelkan itu saya meradang, saya bertanya kepada Dalilah: Why do doctors love to play God? Dalilah tergelak besar sebelum menjawab: It would be worse it you let lawyers play God! Ah, Dalilah…

Ketika arwah masih ada, saya sering mengusik beliau, saya bilang: “Awak ini selebriti penyakit kanser!” Apa tidaknya? Sekiranya dijemput untuk ditemubual di stesen television atau berucap di hadapan pesakit-pesakit kanser yang lain, mutiara kata dan teks ucapan akan Dalilah susun dan rancang serapi mungkin. Elemen-elemen emosi diabaikan untuk memberi laluan kepada semangat dan harapan kepada pesakit kanser yang lain. Setiap kali Dalilah muncul di kaca television, ibu saya adalah antara penonton merangkap peminat setia beliau.

Dalilah bukan seperti pesakit kronik yang pernah saya temui. Tiada kanser di dunia yang mampu memadamkan semangat perempuan kuat ini. Walaupun mengidap kanser tahap keempat, Dalilah tetap berkeras untuk menjalankan tugas sebagai isteri, ibu, penulis laman sesawang dan buku, pejuang penyakit kanser, aktivis kemasyarakatan dan macam-macam lagi. Bukan sedikit jasa dan peninggalan arwah untuk dunia yang fana ini.

Sebelum Dalilah pergi, dia telah menghuraikan perjalan beliau menentang kanser dalam sebuah buku, Kanser Payudaraku, yang telah diterbitkan oleh Tinta Publisher pada tahun 2009. Beberapa bulan sebelum sakaratul maut datang menjemput, Dalilah sempat mengabadikan pesanan terakhir beliau dalam lagu KembaliKu PadaMu Ilahi.

Saya teringat kata-kata Dalilah ketika saya menangis melihat dia terlantar di katil hospital lewat setahun lepas: “Jangan menangis, Mish. Hidup ini sementara sahaja. Aku tunggu kau di sana ya? Kalau aku mati, kau boleh tulis pasal aku. Kau menulis sangat cantik, macam bidadari!” Sehingga sekarang, masih ada batu besar yang terlekat di kerongkong saya.

Rakan Dalilah, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyuarakan pendapat bahawa setiap kali selepas menziarahi Dalilah, semua orang akan pulang dengan hati riang. Aneh bukan? Lazimnya jika menziarah orang sakit, kita akan rasa sedih, terharu. Tetapi Dalilah yang saya kenal, memang pantang melihat walau sezarah kesedihan. Senyuman Dalillah lebar lagi murah. Ketawa dan jenaka jadi sulaman walaupun sedang perit berperang dengan chemotherapy.

Semenjak Dalilah sakit, tidak sekali saya mendengar dia mengeluh. Genap seminggu selepas Dalilah melakukan tawaf wida’ di Tanah Haram, roh Dalilah diangkat pulang ke Rahmatullah, pada tanggal 19 Julai 2010.

Sekiranya hari ini Dalilah masih hidup, beliau akan menyambut harijadinya yang ke-43, tetapi Tuhan lebih mengasihi Dalilah. Saya mohon maaf sekiranya garapan ini tidak secantik bidadari, sahabat, tetapi saya sudah mencuba sedaya kudrat.

Benar Dalilah sudah pergi, tetapi obor semangat beliau akan terus menyala dalam setiap hati yang pernah beliau sentuhi. Harimau mati meninggalkan belang, Dalilah mati meninggalkan semangat. Semoga roh Dalilah Tamrin ditempatkan di kalangan para solihin.  Tunggu saya di sana, Dalilah. Suatu hari saya juga akan pulang…

  • Elviza Michele Kamal merasakan titipan minggu ini hambar sekali, langsung tidak secantik bidadari.

Dalilah Tamrin 1967-2010

(From left is Dalilah’s husband, Saiful, her boys Adam (15) and Idris (11) – now bereaved)

She stared cancer in the eyes. She waged war against three recurrences of the nasty disease. She was the epitome of spirits. Bright torch clasped in her hand, thrust forward confidently, paving way to other cancer patients.

She told me would wait for me in the ever after; she told me “don’t be sad, my friend… for death is the only certainty in this world.”

She appeared on tele to talk about cancer countless of times, I swear my mother loves her more than any other social activist. She talked to God about her fears. She penned a lyric for us to remember.

What the hell am I doing? This space is too short to write every single deed that Dalilah had done.

This morning, Dalilah Tamrin, succumbed to cancer at 8:50 a.m. Beliau akan dikapankan di rumah bondanya di Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Al-Fatihah untuk sahabat ku.

Jangan mungkir janji Darling, tunggu saya di sana nanti ya? Saya datang, suatu hari saya pasti datang. Kerana yang pasti, hanya  mati.

Pendidikan Seks: Bukan Perkara Taboo

Published in Sinar Harian, 14 July 2010.

JIKA sekali lagi saya mendengar atau membaca kes-kes membuang janin atau bayi, saya sendiri akan pergi mencari manusia yang bertanggungjawab itu (kalau mereka berada dalam tahanan reman, saya akan pergi ke balai polis), kemudian saya akan meminta izin untuk berceramah kepada mereka tentang agama, budaya, pendidikan seks dan sains perubatan yang berkenaan dengan cara merancang keluarga secara selamat dan efektif.

Saya tidak pasti samada ceramah itu mampu untuk mengubah apa yang telah berlaku, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu, saya tidak duduk diam berpeluk tubuh sahaja.

Mutakhir ini, apabila berita bayi atau janin dibuang terpapar di dada media, kita akan terkejut lalu melatah dengan amarah. Kita memekik-mekik kepada pihak berkuasa agar segera mengenakan tindakan undang-undang yang setimpal ke atas mereka yang terlibat atau bersubahat.

Kita gesa badan bukan kerajaan supaya membuka tempat-tempat perlindungan sementara, seperti orphanCARE, untuk menolong mereka yang tersepit. Tidak cukup dengan itu, kita mengkritik, mengutuk dan menghakimi ibu-bapa yang gagal dalam mendidik anak-anak mereka untuk menjauhi seks di luar nikah.

Lalu kita rasa lega. Kononnya, selesailah tanggungjawab kita kepada masyarakat.

Namun itu semua, pembaca budiman, tindakan refleks insan dalam mengubati akibat, bukannya menangani punca benda-benda jahanam itu terjadi.

Seks tanpa lafaz akad dan nikah, lumrahnya sama seperti serangan selsema. Sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, pasti serangan itu dapat kita elakkan. Apabila berbicara tentang subjek taboo seperti pendidikan seks, kita orang timur selalu rasa tidak selesa, malahan ada yang menganggap seks itu kotor dan lucah.

Sekali lagi kita terkhilaf.

Seks tidak kotor, berdosa atau sesuatu yang taboo. Seks adalah naluri lahiriah dan keperluan fizikal yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap insan. Jadi saya tegaskan di sini, dengan lantang dan tanpa kondisi, bahawa perihal membuang bayi berlaku kerana kita tidak mendidik generasi di bawah kita dengan pendidikan seks yang sempurna.

Betul, sekiranya generasi muda kukuh asas agama dan nilai ketimuran, mereka tidak akan membuang bayi. Tetapi lupakah kita bahawa agama dan nilai tidak boleh diterjah begitu sahaja ke dalam minda muda mereka? Alpakah kita bahawa iman tidak dapat diwarisi atau dijualbeli? Sekiranya mereka lalai lalu terlibat dalam kancah seks bebas, masihkah kita betah menyumbat apa yang halal dan haram ke telinga mereka? Menyuruh mereka pulang ke pangkal jalan? Walaupun perkara terkutuk itu sudah berlaku?

Pada saya, jalan keluar yang hakiki dalam membentaras gejala buang bayi, hanya satu: Pendidikan seks.

Skala pendidikan seks yang baik di sekolah mahupun di rumah, mampu melantaikan remaja kita tentang keperluan batin manusia serta menerapkan sikap positif dan bertanggungjawab apabila berhadapan dengan seks. Dengan syarat, program pendidikan tersebut mestilah mengandungi informasi yang tepat untuk menggalakan generasi muda melindungi diri, menahan nafsu dari melakukan seks sehingga mereka benar-benar bersedia. Juga untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan terhadap risiko yang bakal mereka hadapi. Dalam kata-kata lain, kita teraskan ke dalam hati mereka, nilai untuk menghargai diri sendiri.

Pendidikan seks yang sempurna akan menjadi instrumental dalam mengekang fenomena membuang bayi, dan juga dapat mengurangkan kecenderungan untuk melakukan kegiatan seks agresif seperti rogol dan sumbang mahram. Sambil kita menyelam, kita minum air. Juga saya fikir, sesi kaunseling dapat membantu.

Bukan saya buat-buat pekak dan bisu kepada bahas-bahas yang mengatakan bahawa pendidikan seks hanya menggalakkan remaja untuk berkelakuan sumbang. Dan sekiranya laporan akhbar yang mengatakan pendirian Tok Guru Nik Aziz bahawa mengajar pendidikan seks seumpama mengajar pencuri untuk mencuri dengan betul, boleh diterimapakai, saya tidak setuju sama sekali. Cara mendidik tidak sama di masa dahulu dan sekarang. Kalau kita halang membabi-buta, buruk padahnya nanti.

Saya juga ingin berkongsi dengan pembaca budiman berkenaan dengan kaji selidik yang telah dijalankan oleh World Health Organization. Ahli pakar sains reproduktif telah berpendapat bahawa tiada bukti dapat menyokong penegasan yang mengatakan pendidikan seks hanya akan menggalakkan eksperimentasi. Malahan, program pendidikan seks mampu memantau kecenderungan anak-anak muda untuk terlibat dalam aktiviti seksual secara rambang.

Watikah saya Rabu ini tidak bertujuan untuk menghalalkan apa yang haram, tetapi saya akan mati beragan sekiranya saya tidak menyuarakan pendapat di atas landasan yang bernama pendidikan.

Soal menerapkan pengetahuan seks di peringkat awal ini tidak harus diimbangkan di atas pengukur nilai-nilai budaya timur atau barat. Apabila masa untuk kita mendidik sudah tiba, lapangkan minda, tegarkan hati. Nescaya hasil yang baik akan timbul sekiranya niat kita tulus.

Bahasa menentukan artikulasi atau kemelayuan kita?

(Published in Sinar Harian, 30 Jun 2010)

SEORANG anak guam saya, yang hidupnya berkiblatkan jatidiri dan nilai-nilai kemelayuan yang getir, pernah menghantar pesanan ringkas di mana bunyinya lebih kurang begini: “Dasar melayu baru! Kamu sudah lupa atas biaya siapa kamu belajar di luar negara? Mana rasa cinta kamu kepada bahasa kebangsaan?”

Marah benar dia ketika itu. Izinkan saya menceritakan bagaimana pesanan ringkas penuh emosi itu bisa sampai ke telefon pintar saya. Anak guam yang paling banyak menyokong saya tatakala baru membuka firma guaman itu, sebenarnya baru sahaja membaca surat saya kepada ketua penyunting akhbar The Star, yang telah disiarkan pada 19 November 2008.

Ketika itu, saya berpendapat bahawa sistem pendidikan negara harus diajar semula dalam bahasa Inggeris.

Jangan melenting dulu, pembaca budiman. Saya berpendapat sedemikian kerana, hanya dengan cara itu, pelajar-pelajar kita apabila melanjutkan pelajaran di menara gading (di mana bahan rujukan hampir kesemuanya dalam bahasa Inggeris) tidak akan mengalami proses  pertukaran bahasa perantaraan yang sukar. Itu sahaja.

Bukannya saya kata mansuhkan terus pelajaran bahasa Melayu dalam sukatan pelajaran!

Izinkan saya menggunakan ruangan minggu ini untuk mempertahankan cetusan minda saya, yang mungkin cela di mata sesetengah pihak itu. Apa yang bengkok perlu diluruskan, apa yang kusut harus dileraikan.

Saya tidak pernah lupa asal usul saya. Jauh sekali untuk menganaktirikan bahasa ibunda.

Tetapi matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Dan sekiranya cara yang digunakan dalam sistem pendidikan sekarang, masih ada ruang untuk menjadi lebih sempurna, maka sebagai seorang anak melayu yang sudah dibayar percuma pendidikannya, bukankah saya wajib mengusulkan suatu anjakan paradigma yang baru?

Secara ideal, fitrah yang seumpama ini harus kita galakkan dalam mendidik generasi muda: Tidak takut membangkang apa yang difikirkan tidak sempurna dan tidak getar mengkritik apa yang stereotaip. Tidak kelu lidah atau lekas memantau fikiran di luar lingkungan, sekiranya mereka tidak bersetuju dengan sesuatu polisi itu.

Dan maaf cakap, penguasaan bahasa itu tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan kemelayuan (baru atau lama) seseorang individu itu.

Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan utama rakyat Malaysia. Sebenarnya, perjuangan untuk memertabatkan bahasa Melayu bukanlah perkara baru.

Dalam tahun 1955, Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya yang bertiangserikan buah fikiran bapa-bapa politik dan pendidikan negara seperti Datuk Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin Helmi, Aminudin Baki dan ramai lagi telah diadakan. Antara resolusi yang tercapai adalah untuk mewujudkan sebuah negara satu bangsa dan satu bahasa yang dipanggil Melayu.

Jadi, saya cukup meluat mendengar sesetengah pihak yang menjerit-jerit mendesak kesamarataan antara kaum di tanah keramat ini, tetapi pada hakikatnya, masih ‘cacat’ apabila bertutur atau menulis dalam bahasa Melayu. Jangan bebal mendabik dada, sekiranya anda sendiri tidak menghormati frasa Perlembagaan Persekutan!

Memang benar kuasa-kuasa gagah di dunia seperti Perancis, Jepun, China dan Korea amat angkuh dengan bahasa ibunda mereka. Tetapi, fakta yang tidak boleh disangkal: Walau seangkuh manapun kita dengan bahasa ibunda, lingua franca tetap memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan kemanusian sebuah negara dan bangsa itu.

Dalam dunia sifar sempadan yang telah dimangkinkan dengan kuasa Internet ini, terimalah kenyataan bahawa bahasa Inggeris adalah lingua franca yang telah diadaptasikan oleh seantero dunia. Sekiranya kita tidak mendakap bahasa perantaraan dunia, bagaimana kita hendak mendokong konsep globalisasi yang diwarwarkan itu?

Di minda saya, peranan bahasa, walau dalam apa bentuk sekalipun, harus menjana artikulasi seseorang. Hanya dengan kemahiran artikulasi yang mantap barulah setiap idea baru, pendapat atau debat dapat digunapakai dalam setiap saluran pengkhususan.

Artikulasi tidak datang dengan suara terpekik terlolong ketika sedang berceramah; artikulasi lahir dari kombinasi antara otak dan lidah yang mampu menzahirkan idea dan pendapat seseorang kepada umum.

Tidak bermakna jika anda mengutamakan pembacaan dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris, kemelayuan anda itu akan jadi kurang atau lebih!

Sekiranya kita serius untuk melabur dalam aspek permodalan insan, generasi di bawah kita harus mengusai domain kedua-dua bahasa: Melayu dan Inggeris. Masa sudah suntuk, dan sekiranya kita masih degil di tapuk pemikiran pesimis, bangsa kita akan rugi besar. Juga, tidak perlu saya berkalam panjang untuk mengatakan bahawa perkara bahasa ini, tidak boleh dipolitikkan sama sekali.

Saya akhiri bicara saya minggu ini, dengan sebaris lagu yang sering yang didendangkan oleh arwah ayah, ketika hayatnya masih ada: Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa…