Puteri Umno: Patah sayap bertongkat paruh

Pagi Ahad lepas, kopi panas di bibir saya tersembur sedikit tatkala membaca wawancara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, dalam sebuah akhbar tempatan.

Rencana itu asalnya berpaksikan teguran secara terbuka di media oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansur, kepada sayap-sayap pergerakan di bawah UMNO. Lantang Tengku Adnan melabelkan pergerakan Pemuda dan Puteri sebagai ‘kurang bermaya’ atau ‘lesu’. Tambah beliau lagi, ahli-ahli pergerakan terlalu taksub mengejar jawatan dalam parti (mahupun kerajaan) sehingga meminggirkan wadah perjuangan sebenar.

Itu dia. Lama sungguh saya tunggu kenyataan seperti ini keluar dari mulut politikus senior UMNO dalam konteks pergerakan Puteri. Maaf cakap, bukan Tengku Adnan seorang yang bertanggapan demikian, ramai orang berbisik ke telinga saya memberitahu pendapat yang sama. Mereka bilang, sayap merah jambu itu lesu tanpa pengaruh. Langsung tidak bertaring dalam perjuangan politik UMNO.

Kedua-dua ketua Pemuda dan Puteri berpendapat bahawa teguran itu, walaupun diibaratkan seperti teguran seorang ayah kepada anaknya, tetap tidak wajar didedahkan terus melalui media. Pendapat saya berbeza: Jika ditegur secara telus, ianya mungkin akan membawa kesan efektif dalam jangka masa yang lebih cepat.

Bila imej sudah tercalar, sesiapa sahaja akan berusaha untuk membaikpulih nama mereka di mata masyarakat, ataupun dalam kes ini, di mata pengundi-pengundi muda. Kalau setakat menegur dalam mesyuarat tertutup, boleh diibaratkan seperti ibu-bapa berleter di rumah sahaja, selalunya tidak diendahkan oleh anak-anak.

Setiap teguran – tidak kira samada konstrutif atau negatif – kepada pergerakan Puteri tentu ada puncanya. Sekiranya tidak, mengapa persepsi bahawa pergerakan Puteri gagal memangkinkan minda muda berleluasa dewasa ini? Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, kalau tidak kerana api masakan sekam berkepul asap?

Punca pergerakan Puteri ditohmah lesu, diakui sendiri oleh Rosnah apabila beliau mengesahkan aktiviti mereka kurang mendapat pendedahan media. Sebenarnya soal pendedahan media ini enteng sahaja. Media di alaf baru tidak terhad kepada bahan bercetak semata. Malahan sekiranya anda bergantung kepada media konvensional itu sahaja, alamatnya anda memang mencari padah.

Setiap aktiviti Puteri kepada masyarakat boleh dimuatnaik terus ke laman web dan Facebook hanya dengan menekan kekunci di BlackBerry atau iPhone. Malangnya tinjauan ke laman web rasmi Puteri UMNO, nyata mengecewakan. Bagaimana Puteri ingin membawa wadah perubahan kepada generasi muda jika kali terakhir laman web dikemaskinikan adalah pada tanggal 9 September 2010?

Pujian harus dilontarkan kepada laman web Puteri UMNO Cheras. Halaman mereka tampak informatif dan interaktif, usaha untuk mengemaskini juga kerap dilakukan. Kalau Puteri memerlukan panduan, toleh sahaja ke laman Rembau.net milik ketua pemuda UMNO. Walaupun ramai yang tidak sealiran pendapat dengan ketua pemuda tersebut – baik dalam parti mahupun di luar – laman web beliau tetap boleh dijadikan panduan.

Pautan di laman Facebook milik Puteri juga lemau sekali. Bagaimana Puteri boleh dianggap sebagai sayap perjuangan, kalau laman Facebook mereka hanya dirias dengan informasi asas dan enam album gambar sahaja? Mana wadah perjuangan Puteri? Apa aspirasi Puteri dalam politik? Apa yang telah tercapai? Apa yang masih diusahakan?

Di laman Twitter usah cerita, langsung senyap sunyi persis tanah perkuburan tanpa mana-mana exco Puteri yang mengambil inisiatif untuk berkicau. Ketika setiap parti politik berlumba-lumba menonjolkan diri dan perjuangan di laman media sosial terkenal itu, Puteri UMNO masih dibelenggu masalah dalaman. Kalau hendak menawan hati pengudi muda, Puteri harus arif mengekspolitasikan media sosial.

Segala-galanya tentang politik berkisar di perdu pendedahan. Menjadi ahli politik juga membawa pengertian bahawa anda seorang yang memegang tampuk kuasa. Namun, jika kuasa anda itu tidak membantu perjuangan politik sesebuah parti, relavansi anda akan dipersoalkan. Dan maaf Datuk Rosnah, mana-mana pergerakan politik tidak boleh mengambil pendekatan menjadi low profile. Silap haribulan, terus dilupakan!

Masyarakat, hatta UMNO sendiri, tidak harus berhenti dari mengkritik pergerakan Puteri sekiranya kewujudan mereka hanya sekadar melepas batuk di tangga. Emas masa tidak berada di tangan anda. Tidak dinafikan Puteri memerlukan ruang untuk menjalani proses transformasi dan penjenamaan semula, tetapi harus diingati: Pilihanraya umum datang setiap lima tahun. Proses mendokong demokrasi ini tidak akan menunggu sesiapa yang leka dalam kemelut transformasi dan penjenamaan semula.

Jangan cepat berasa selesa dengan kejayaan menarik puluhan ribu ahli baru di bawah sayap anda. Keahlian politik seseorang tidak menjanjikan tanda ‘X’ di kertas undi! Rakyat – terutamanya pengundi muda – sudah lama celik politik. Sumbangan Puteri harus dirasai dalam segenap aspek kehidupan, sosio-ekonomi dan kebajikan, barulah undi terjamin.

Akhir kalam, saranan Rosnah agar aktiviti mengecam pergerakan Puteri dihentikan kedengaran kurang matang. Jangan disangkal tanggapan orang dengan penafian, kelak mereka bosan. Tunjukkan kepada mereka taring pergerakan Puteri dalam parti, barulah mereka diam.

Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh ke mana hala?