Melakar garis antara politik & hak rakyat

(Published in Sinar Harian. Click here for the online version).

    Masyarakat yang suka melabel – itu kita. Kita tuding jari seraya berkata: Kau liberalis! Si anu melayu baru tak sedar diri! Si polan orang BN, si Abu orang Pakatan, si Chong pula cina ‘pendatang’. Betul bukan huraian saya, pembaca budiman?

    Kita jarang mengambil garis di tengah. Sesiapa pun tidak boleh berada di atas pagar, anda harus memilih dalam kumpulan mana anda ingin berada. Kepada yang berfikiran cetek begini, saya tidak kepingin membazir emas masa untuk memberi pendidikan percuma kepada mereka.

    Pandai-pandailah sendiri mencari ilmu. Tetapi ingat pesan orang tua: Kalau kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga, kelak badan sendiri binasa!

    Mutakhir ini, telinga saya pijar dengan hujah sesetengah insan yang tidak boleh membezakan antara hak, undang-undang dan pegangan politik. Izinkan saya menghuraikan secara verbatim. Fasal 10 (1) Perlembagaan Persekutuan:

    (a)       tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

    (b)       semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.

    Secara ringkasnya – tidak kiralah anda siapa – hak anda untuk bersuara, mengeluarkan buah fikiran dan berhimpun secara aman telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Sementara itu, Akta Polis 1967 di bawah Seksyen 27, 27A, 27B, dan 27C, telah memberi kuasa kepada polis untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan.

    Di bawah Seksyen 27 ini juga, polis berkuasa mutlak untuk mengeluarkan lesen, mengawal dan memberhentikan perarakan. Jadi sekiranya anda berarak tanpa lesen, itu dikira di perarakan ‘haram’ di sisi Akta Polis.  Semangat Seksyen 27 ini, secara amnya, adalah untuk menjaga ketenteraman awam.

    Sekarang Seksyen 27 Akta Polis tidak sekata dengan Fasal 10 (1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan. Apa jalan penyelesaian terbaik? Perlukah kita menyepak-terajang Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada kuasa polis di bawah Seksyen 27?

    Cadangan saya enteng. Berikan saja permit atau lesen kepada mereka yang ingin meluahkan apa yang terbuku di dada. Kita ada banyak stadium, padang dan tempat awam. Buka tempat-tempat itu untuk mereka bersuara. Kekang risiko keganasan dengan kawalan dan batas masa, sekiranya perlu.

    Biarkan saja mereka hendak terpekik-terlolong sampai hilang suara, penat badan mereka balik juga.

    Sekiranya kita ambil pendekatan ini, kita bangsa yang mendokong demokrasi dan menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras negara merdeka.

    Polis juga perlu arif menggunakan discretion (budi-bicara) dalam mengamalkan kuasa mereka di bawah Seksyen 27. Kalau lesen atau permit untuk berarak payah benar untuk dikeluarkan, alamatnya semua orang akan berarak secara haram.

    Bukan di bawah Fasal 10 (1) (a) dan (b) itu sahaja memperuntukkan hak kita untuk bersuara dan berhimpun, Article 20 The Universal Declaration of Human Rights juga bernafas dalam nadi yang sama.

    Kepada yang berfikiran skeptik, saya pohon jangan salah faham. Saya tidak pernah kata bahawa berdemonstrasi tentang air itu patriotik, saya tidak pernah menulis bahawa Walk of Justice 2007 itu berpermit, saya tidak ambil pusing anda ingin berdemonstrasi tentang air, api, angin hatta harga cili naik sekali pun!

    Tetapi hak anda untuk berkumpul dan menyuarakan pendapat adalah hak yang telah dimutlakkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kalau ada yang menyangkal hak kita untuk bebas berkumpul atau isu yang sama digendangkan di atas pentas politik – itu khilaf lagi jahil.

    Pegangan politik dan hak anda di bawah undang-undang tidak boleh dicampur aduk seperti rojak. Sesiapa sahaja – samada anda orang BN, PR  atau atas pagar – berhak untuk bersuara dan berhimpun.

    Dan pihak berkuasa persekutuan atau negeri yang menafikan hak kita di bawah Perlembagaan Persekutan, juga khilaf lagi jahil.

    Jika  dikekang hak rakyat untuk bersuara, padahnya nanti di peti undi.

    Di benak saya ada satu soalan yang masih tergantung: kenapa bila ribuan peguam berarak menuntut sistem kehakiman negara dibersihkan, tidak pula mereka disemburkan dengan air dan gas pemedih mata? Mereka juga tiada berpermit hari itu, bising dan menghalang lalulintas di Putrajaya.

    Di mana kesamarataan pihak berkuasa?

    Lihat di sekeliling kita, di London misalnya, warga metropolis itu bebas berdemonstrasi. Sistem laluan transit kota itu kadang-kadang tidak boleh digunakan berhari-hari lamanya kerana pekerja mereka mogok. Hak mereka untuk bersuara dijunjung tinggi.

    Oh maaf, nanti saya dituduh ‘kebaratan’ pula kerana membandingkan Malaysia dengan Eropah. Aduh manusia…

    Kita rakyat jangan ikut rentak si politikus dan pena yang berkalam atas nama politik. Kita harus bijak membezakan antara yang hak dan batil, antara politik dan undang-undang. Baru kita jadi tuan di tanah sendiri, seperti dalam prosa puisi Pak Usman Awang.

    Sesiapa saja boleh melabel fikiran saya pagi ini dengan katanama pilihan hati, tidak akan menjadi kudis untuk saya. Saya dilahirkan, dibesarkan, diberi pendidikan dan berkhidmat di tanah keramat ini. Hak saya dan anda, adalah sama.

    Akhir kalam, saya tidak menulis untuk berpropaganda, tetapi saya akan mati beragan sekiranya tidak membela hak kita untuk bersuara dan berkumpul secara aman.

    SPRM: Berperang menentang krisis persepsi

    (Published in Sinar Harian, 1 December 2010 ).

    Khamis lepas, saya dan rakan-rakan blogger, telah dijemput menghadiri sesi dialog bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sesi itu telah dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Hj. Abu Kassim Mohammed.

    Selesai bercakap dan makan tengahhari, saya pulang ke pejabat seraya membelek-belek risalah dan lapuran tahunan SPRM yang telah dibekalkan kepada kami. Tidak sampai 15 minit, saya tolak ke tepi bahan bacaan tidak berjiwa itu.

    Bila bercakap tentang jenayah yang menjadi kudis terbesar dalam hidup kita – rasuah – saya perlu menulis dari hati, bukan dari statistik dan kenyataan rasmi SPRM.

    Sebelum saya tersasar jauh dari nas perbincangan, saya ada pengalaman peribadi berhadapan dengan pegawai SPRM. Kami pernah bertikam mulut dalam kamar majistret, di mana saya mempertahankan hak asasi anak guam, sementara pegawai SPRM pula membela hak suruhanjaya dalam satu perbicaraan lanjutan tahanan reman.

    Tidak keterlaluan jika saya simpulkan bahawa, rata-rata pegawai SPRM, kurang pengalaman. Kata orang tua-tua, ilmu mereka belum cukup dalam. Mereka muda, gugup dan tidak bersedia sebelum masuk ke dalam kamar mahkamah.

    Dalam kata-kata lain, mereka ini tidak fasih susur-galur undang-undang dan kes-kes yang telah diputuskan terlebih dahulu (precedent).

    Tenyata, pegawai-pegawai SPRM bukan lawan terhandal sekiranya mana-mana peguam berhadapan dengan mereka. Maaf, itu hanya persepsi saya. Dan selagi kita masih berbicara di atas platform yang berlabel ‘persepsi’ ini, terus terang saya katakan bahawa SPRM masih berada dalam kancah tanggapan negatif masyarakat.

    Di mata masyarakat, SPRM ini seperti harimau tidak bertaring.

    Dalam sesi dialog tersebut, Abu Kassim telah menjawab semua soalan-soalan panas yang telah diutarakan oleh rakan-rakan blogger, dengan penuh hati-hati dan diplomasi.

    Namun, ada suatu aspek yang jelas dalam tuturkata Abu Kassim: beliau nampak jujur dan telus.

    Tetapi, sejauh mana kejujuran dan ketelusan Abu Kassim dapat menukar persepsi masyarakat?

    Dari pengamatan saya, reputasi SPRM terus-terusan dirudum kontroversi dari kes-kes berprofil tinggi seperti: Teoh Beng Hock, skandal PKFZ, kes bekas menteri besar Selangor yang telah membuat ‘lawatan sambil belajar’ ke luar negara dengan mewah dan mempunyai sebuah ‘istana’.

    Apabila saya bertanya tentang status kes bekas menteri besar itu, Abu Kassim menjawab dengan nada mendatar: SPRM tidak boleh menyabit seseorang hanya kerana masyarakat menyampah dengan bekas menteri besar tersebut.

    Tambah Abu Kassim lagi, ada banyak kes-kes berprofil tinggi yang masih berada ‘dalam siasatan’.

    Dari pengalaman rakan-rakan peguam yang pernah mengendalikan kes rasuah, beban bukti untuk menyabit-salah jenayah ini sukar dicari.

    Contohnya, seperti kes seorang datuk yang pernah menjadi ahli majlis tertinggi UMNO (maaf, kalau sebut nama nanti saya kena saman), di mana saksi utama telah bertukar menjadi hostile.

    Itu bukan salah SPRM. Dan kes tersebut telahpun digugurkan oleh mahkamah. Tidak bersalahkah beliau? Sila tepuk dada tanya minda, aduhai pembaca budiman.

    Apa yang perlu dititikberatkan oleh SPRM adalah faktor masa. Pendedahan kes penyelewengan bekas menteri besar itu mendapat liputan meluas dari akhbar The Sun.

    Semua orang sudah baca. Jadi, sekiranya kes seperti itu lemau di minda rakyat, mereka akan mula menuding jari ke arah anda.

    Saya faham benar bahawa SPRM adalah badan yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Jadi, tugas SPRM dianggap functus officio (selesai) apabila tamat siasatan.

    Kuasa untuk menentukan samada orang yang disyakki akan dituduh di mahkamah atau tidak, adalah hak mutlak Jabatan Peguam Negara.

    Saya juga faham bahawa fasal siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum. Mungkin cukup sekadar SPRM memberitahu media bahawa siasatan terhadap kes si polan atau si anu, sudah selesai.

    Unit maklumat korporat dan media SPRM perlu mengambil pendekatan lebih agresif. Jawab segala pertuduhan dan cacian dalam media konvensional atau elektronik.

    Sikap berdiam diri memeluk  tubuh apabila siasatan selesai dijalankan, tidak akan membantu dalam memperbaiki persepsi masyarakat terhadap anda.

    Seperti yang telah saya luahkan kepada Abu Kassim, perkara persepsi masyarakat ini adalah perkara perang minda.

    Dan perang minda tidak boleh dimenangi hanya melalui kenyataan akhbar dan editorial berbentuk puji-pujian semata.

    SPRM perlu menjana kepercayaan dan mengubah tanggapan masyarakat terlebih dahulu, barulah proses transformasi jadi mudah.

    Benar SPRM banyak menggalas beban yang telah ditinggalkan oleh Badan Pencegah Rasuah. Tapi itu bukan alasan konkrit untuk tidak menjadi suatu badan berpretij yang digeruni oleh segenap lapisan, dalam menentang gejala rasuah.

    Mungkin enteng untuk saya menulis kerana saya tidak duduk di kerusi Abu Kassim. Tetapi dalam masa tiga jam saya bersama beliau, saya percaya Abu Kassim boleh menjadi nakhoda untuk menyelamatkan SPRM dari terus ‘karam’ di hati rakyat.

    Tidak mengapa, itu masalah SPRM. Masalah anda dan saya adalah untuk melapurkan  apa-apa bentuk rasuah – samaada kecil dan besar – tanpa kondisi, tanpa prejudis.

    Pesan saya kepada rakan-rakan (anda tahu anda siapa), sudah-sudahlah perangai membayar ‘duit kopi’ apabila ditahan polis trafik. Pakai tali pinggang keledar itu untuk keselamatan kita, bukan untuk keselamatan polis trafik! Aduh manusia…