Interlok: Mencari Abdullah Hussain

(Published in Sinar Harian. Click here for the online version)

 

Sekiranya kisah pelacur dalam novel Salina dan cerita si petani bukit, Lahuma, dalam Ranjau Sepanjang Jalan, telah membikin saya jatuh cinta dengan sastera Melayu, novel The Adventure of Huckleberry Finn pula, telah merintis jalan pembacaan saya dalam kesusasteraan kontemporari Amerika.

Dalam novel yang mengisahkan perihal dua orang budak lelaki, Tom Sawyer dan Huckleberry Finn itu, perkataan ‘nigger’ telah digunakan tanpa had dan sempadan, dalam huraian kisah yang ditempatkan di tebing sungai Mississippi itu.

Perkataan ‘nigger’ yang dikira kurang ajar dalam peradaban moden hari ini, telah menjadikan novel itu didebat hebat di kalangan rakyat Amerika. Baru-baru ini, saya dapat berita bahawa cetakan terbaru novel tersebut telah menggantikan terma ‘nigger’ kepada ‘slave’.

Bagi saya, manusia ini aneh sekali. Perkataan ‘nigger’ dan ‘slave’ itu, walaupun berkaitan, tidak sama maknanya. Kenapa perlu diubah karya sebegitu hebat atas nama hipokrasi dan kerana ingin menjadi politically correct?

Kenapa saya memilih untuk berbicara soal novel tulisan Mark Twain itu, minggu ini? Sebenarnya, hati sedang menggelegak dengan sesetengah pihak yang sedang rakus mempolitikkan novel Interlok yang menggunakan perkataan ‘paria’ dalam jalan cerita.

Yang paling kuat menyalak agar novel itu digugurkan sebagai teks sukatan pelajaran kebangsaan atau diharamkan terus, entahkan sudah membaca keseluruhan novel, entahkan tidak.

Mengambilkira kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan di dada media, saya ingat mereka ini belumpun habis membaca Buku Satu tentang keluarga Seman dalam novel Interlok itu.

Pertama sekali, kita jangan jadi orang buta pengetahuan, perkataan ‘paria’ (seperti juga perkataan ‘nigger’) ada definisinya dalam kamus. Tidak payah saya menjadi burung belatuk mengulang-ngulang maksud perkataan itu.

Perkataan-perkataan itu juga ada sejarahnya, ada susur galur dan asal terma-terma sebegitu digunakan dalam lenggok bahasa percakapan kita seharian.

Keduanya, novel Interlok itu genrenya fiksyen. Kalau sesiapa ingin mencari maklumat tentang sistem kasta atau asal perkataan ‘paria,’ sila cari rujukan sejarah, bukan fiksyen.

Dalam fikyen tidak semua perlu masuk akal atau disokong dengan fakta tepat. Anda fikir,  bila J.K. Rowling menulis lalu menjadikan  Harry Potter dan rakan-rakan sekolah beliau terbang atas penyapu ajaib itu, masuk akal?

Mengharamkan Interlok, menggantikan perkataan ‘paria’ dengan sesuatu yang lain, hatta menarik teks itu dari sukatan pelajaran kebangsaaan tidak akan mengubah apa-apa. Integrasi antara tiga kaum utama di negara ini pernah diduga dan telah melalui pelbagai cabaran melalui sistem pecah dan perintah.

Kita jangan jadi Pak Pandir, pembaca budiman, perkara mengharamkan buku tidak akan dapat memadamkan sejarah, menyangkal hakikat atau menjadi cermin kepura-puraan bahawa perihal integrasi kaum di negara ini, kononnya molek-molek belaka.

Sebaliknya ia akan menjadikan generasi di bawah kita menjauhi sejarah dan enggan mengambil iktibar dari apa yang pernah berlaku. Mereka tidak akan faham kenapa perkataan ‘paria’ itu dianggap taboo, tanpa mengetahui bagaimana terma itu boleh digunakan pada asalnya.

Abdullah Hussain telah menegaskan bahawa, sebagai seorang penulis beliau bertanggungjawab untuk membentuk pemikiran masyarakat melalui karya-karya beliau. Abdullah berpendapat bahawa semangat muhibbah antara kaum india, cina dan melayu ketika itulah yang telah membentuk Malaysia pada hari ini.

Apa yang membuat saya tergelak besar adalah kenyataan Presiden MIC yang berbunyi: “There is no consensus to say the book was in line with the 1Malaysia spirit. People should not be made to believe this. If so, we are in for a big setback.”

Aduhai… Karya sastera yang ditulis pada tahun 1971 itu juga perlu menurut konsep 1Malaysia, Datuk G. Palanivel?

Walaubagaimanapun, saya tidak kepingin untuk mengulas kelakuan sekumpulan manusia yang membakar naskah-naskah Interlok di hadapan Majlis Perbandaran Klang baru-baru ini, kerana saya enggan membuang masa mendidik orang jahil pengetahuan dan tidak tahu menghormati buku.

Mereka ini saya anggap nyamuk semata, ilmu tiada, bunyinya pula bising dan selalu menyusahkan orang.

Mungkin saya jahil dalam sudut politik dan pengunaan perkataan-perkataan yang sesuai. Mungkin juga saya menggunakan elemen emosi untuk membela karya-karya penulis tempatan dan antarabangsa.

Tetapi tidakkah kita terfikir – hanya untuk seketika – karya itu hak mereka, idea mereka, dan pernah menjadi ‘kekasih’ mereka. Siapa kita untuk mengharamkan atau menukar apa-apa? Ukur baju di badan sendiri, duhai politikus bijaksana.

Seperti pesan Pak Abdullah ketika diwawancara baru-baru ini: “Baca secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis.”

Sekonyong-konyong selepas membaca pesanan itu, saya teringat kepada ayat Al-Karem pertama yang telah diturunkan di gua Hiraq: Iqra’. Bermaksud, bacalah. Sekira kita tidak membaca, maka kita adalah antara orang-orang yang berada dalam kerugian.