Muzikal Lat: Pabila bakat & disiplin jadi satu

(Published in Sinar Harian, subsequently republished in  The Malaysian Insider).

Tidak seperti orang lain, kenangan saya bersama karya-karya Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), fitrahnya luka. Kali terakhir membaca komik Kampung Boy, saya termanggu di katil hospital arwah ayah.

Sebelum meninggal dunia, deria penglihatan ayah kabur dirosak racun kencing manis. Bergenang airmata melihat arwah terkial-kial untuk membaca komik Lat kegemarannya.

Lantaran, saya bacakan kuat-kuat untuk ayah setiap naskah kompilasi Lat yang pernah diterbitkan. Walaupun kartun-kartun itu sudah kelabu di mata ayah, dia tetap ketawa berdekah-dekah.

Selepas ayah pergi, saya humban komik itu jauh-jauh. Tiada tempat untuk karya Datuk Lat di rak buku kesayangan saya. Hati masih berat, ayah juara satu seluruh dunia, telah meninggalkan saya dan adik buat selamanya.

Tapi Ahad lepas telah mengubah semula perabadan saya terhadap karya ulung milik Lat, yang dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal, sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan Lat dalam dunia seni tanahair. Kata orang tua, saya jatuh cinta sekali lagi…

Saya mulakan komentar terhadap Lat Kampung Boy, Sebuah Musikal (LKBSM) ini dengan satu kesimpulan: Gabungan seni antara Hans Isaac, Harith Iskander, Pat Ibrahim dan Michael Veerapan ini telah melangkaui batas jangkaan saya. Secara keseluruhannya, luar biasa sekali.

Saat montaj sulung dipaparkan, sehinggalah ke penutup bahagian pertama, saya telah menjadi saksi kepada beberapa aspek yang menakjubkan dalam muzikal ini: penataan cahaya pentas yang baik, transisi babak ke babak yang sekata, animasi menghiburkan tetapi tidak berjela, serta komunikasi dan koordinasi antara pelakon yang sarat disiplin.

Pendek kata, jarang ada yang sumbang ketika mereka berdialog atau menyanyi.

Dari aspek lakonan, watak gergasi kewartawanan negara, Tan Sri Samad Ismail, sebagai editor kanan di New Straits Times, telah dihayati tanpa cela oleh pelakon vetaran, Omar Abdullah.

Jalil Hamid yang menjadi bapa Lat itu juga, berjaya meraih mutiara airmata beberapa penonton di hadapan saya. Lat sungguh beruntung, dia juga punya ayah juara satu seluruh dunia.

Lakonan yang paling menghiburkan adalah milik dua watak penting dalam hidup Lat, Frankie dan Mrs Hew, yang telah dibawa dengan cemerlang oleh Douglas Lim dan Sandra Sodhy.

Lakonan Awie sebagai Lat ketika dewasa, dan Atilia sebagai isteri Lat, Faezah, tidak mantap keserasian (chemistry) di atas pentas. Kasih sayang yang cuba ditonjolkan, tidak sampai ke hati saya.

Juga bila Awie menghayati watak Lat yang bertarung menahan airmata, tatkala menerima berita kematian bapanya, kesedihan itu tidak telus di wajah dan intonasi pelakon.

Di pentas lakonan, Awie dan Atilia ini bak kata simpulan orang putih, masih rough around the edges.

Namun, kekurangan itu akan segera dimaafkan pabila Awie dan Atilia membuka mulut untuk menyanyi. Oh, sungguh merdu lagi mengasyikkan. Terbuai mimpi dan perasaan dengan sususan melodi dan garapan lirik yang dilontar dalam suara-suara yang sememangnya, dilahirkan hanya untuk menyanyi.

Ensembel dewasa dan kanak-kanak LKBSM telah mempamerkan koreografi dan nyanyian yang memukau di sepanjang dua jam persembahan. Pendek kata, mereka bersedia.

Antara lagu-lagu yang masih terngiang di telinga adalah, John Wayne Tak Nangis, Kampung Boy dan tidak ketinggalan, Hati ke Hati dendangan Atilia bersama Sandra yang telah melahirkan antara harmoni muzikal yang paling enak di halwa telinga.

Dan untuk lakonan paling cemerlang pula, saya sukar untuk membuat keputusan antara Omar, Jalil dan Douglas. Ketiga mereka memaparkan penghayatan bukan alang-kepalang yang pernah saya saksikan dalam sebuah produksi tempatan.

Jika tidak keterlaluan, saya berpendapat LKBSM ini, masih boleh dikemaskan lagi dari sudut penulisan skrip dan naratif yang sedikit bercelaru di bahagian kedua persembahan. Mungkin terlalu banyak fakta yang cuba disumbatkan dalam masa terhad, jadi ianya mengganggu momentum jalan cerita.

Sebelum pulang, saya berbual ringkas dengan penolong pengarah muzik LKBSM, Kudin, yang memberitahu bahawa setiap lontaran lagu dalam muzikal ini telah digubah satu-persatu oleh Michael Veerapan. Lagu dan koreografi dalam LKBSM semuanya baru dan asli.

Jika rentak gargantuan seperti ini boleh dikekalkan di pentas teater kita, saya percaya suatu hari nanti karyawan kita mampu melahirkan muzikal sehebat Cats atau Mamma Mia. Syabas, LKBSM.

Akhir kalam, sekiranya anda seorang  yang percaya dengan mimpi, seni, dunia kewartawanan dan apa-apa yang halus di jiwa, sila tonton muzikal ini. Keluarga besar produksi LKBSM akan berdendang di Istana Budaya sehingga 5 April 2011.

Salam sayang, Elviza – dan saya tahu, jika Pak Samad baca saya sign off begini, tentu saya kena marah!

Tangan yang menghayun buaian…

(Published in Sinar Harian. Click here for the online version).

MATAHARI petang masih galak membakar ubun-ubun rambut. Debu dan asap kenderaan, rencah utama hidup di kota, melemaskan rongga pernafasan.

Kilasan waktu di pergelangan tangan, baru memberi isyarat bahawa saya masih punya waktu sebelum pulang ke rumah.

Langkah kaki, bagai sudah diprogramkan, terus melangkah ke toko buku Borders, tempat itu berhawa dingin dan boleh membaca secara percuma lagi – saya suka.

Seperti selalu, tidak perlu berkelana jauh ke dalam perut toko, sebaik sahaja melewati bahagian terbitan terbaru, sudah beberapa naskah saya sambar untuk disiasat isi kandungan dengan lanjut. Judul yang dikutip secara rawak petang ini: 21 Speeches That Shaped Our World. Bunyi tajuk gah sekali, teruja hati untuk membelek lebih lanjut.

Naskah nukilan penulis dan penyelidik Briton, Chris Abbot, telah mengambil pendekatan berbeza dengan memberi penghormatan – dalam bentuk kompilasi – kepada 21 teks ucapan pemimpin dan tokoh-tokoh dunia tersohor yang telah mencorakkan kemanusian dan duniawi hari ini.

Kata-kata penuh harapan milik, antara lainnya, Mohandas Ghandi, Winston Churchill, Martin Luther King dan Kevin Rudd, memenuhi helaian buku kulit keras itu. Lama-lama saya jadi lebih leka…

Bukannya apa, cerita, komentar dan huraian isi kandungan ucapan ikon feminin dunia, Emmeline Pankhurst, telah membawa saya melewati kembali zaman ketika berusia awal 20-an dulu. Tatkala itu minat pembacaan saya menjurus kepada isu-isu berasaskan feminisme dan berorientasikan perjuangan hak wanita.

Dan Pankhurst adalah insan yang bertanggungjawab memberikan hak mengundi kepada wanita di Britain di awal abad ke 20.

Walaupun Pankhurst dikecam teruk kerana menggunakan taktik militia dalam Suffragette Movement di Britain, beliau sebenarnya telah mengubah lanskap pemikiran wanita yang selalu dianggap lemah dan tidak setara kaum Adam.

Antara ucapan Pankhurst yang masih disebut-sebut sehinga ke hari ini, adalah ucapan yang bertajuk, Freedom or Death, yang pertama kali dibaca di khalayak ramai pada tanggal 13 November 1913 di Harftford, Connecticut, Amerika Syarikat.

Pankhurst telah menggunakan pelbagai cara – termasuk eksploitasi dan mogok lapar – untuk menuntut agar wanita di Britain diberi hak untuk mengundi. Pengikut-pengikut Pankhurst di Glasgow pernah menjadikan pasaran saham kota itu kacau-bilau apabila mereka menghentikan sistem komunikasi telegraf di antara broker-broker saham di London dan Glasgow.

Dan kalau setakat keluar-masuk penjara, tidak menjadi kudis untuk Pankhurst. Setelah dihumban ke dalam lokap kerana dibenci pemerintah Britain oleh kerana idea-idea radikal beliau, Pankhurst dan pengikut-pengikutnya telah mengugut pihak berkuasa secara mogok lapar.

Apabila wabak mogok lapar menular di kalangan pengikut Pankhurst di penjara, kerajaan Britain yang berasa amat tercabar – kerana rata-rata pengikut Pankhurst terdiri dari wanita  kelas atasan dan berpelajaran – telah menggubal satu dasar undang-undang yang dipanggil Cat and Mouse Act (1913).

Setiap kali pejuang-pejuang Suffragettes Movement ini berada dalam proses mogok lapar dalam penjara, pihak berkuasa telah mencuba pelbagai cara untuk menghentikan misi bahaya itu, termasuk menyumbat makanan secara paksa ke dalam mulut mereka.

Apabila Pankhurst dan pengikutnya tetap berdegil, akta Cat and Mouse itu telah diperkenalkan. Di bawah akta ini, pihak penjara akan menunggu sehingga wanita-wanita itu menjadi terlalu lemah akibat tidak makan sebelum melepaskan mereka dengan ‘lesen sementara,’ di mana wanita-wanita tersebut akan mula makan dan menjadi sihat kembali apabila pulang ke rumah. Namun, sekiranya dalam tempoh ‘lesen sementara’ itu, mereka masih melakukan kesalahan, mereka akan dihumban kembali ke dalam penjara.

Emmeline Pankhurst telah menutup mata buat selamanya pada 14 Jun 1928, hanya beberapa minggu setelah hak mengundi wanita di Britain diluluskan di Parlimen.

Bulu roma di tangan berdiri tegak tatkala membaca semula mutiara kata Pankhurst: “Women are very slow to rouse, but once they are aroused, once they are determined, nothing on earth and nothing on heaven will make women give way; it is impossible.”

Dalam hati, wanita hebat ini kekal sebagai hero peribadi saya.

Dan apabila petang beransur senja, saya berkira-kira untuk membeli sahaja buku tersebut agar dapat dihabiskan di rumah. Meradang sungguh saya apabila menyedari buku tersebut dijual pada harga RM89.50! Angan Mat Jenin saja ingin menjadi pembaca tegar di tanah bertuah ini, harga buku dan bahan-bahan ilmiah mahalnya bukan alang-kepalang.

Pernah sekali saya keluar dari Kinokuniya dengan resit belian mencecah RM700 untuk 5 buah buku. Tempelak rakan yang menemani saya hari itu: “Amboi, dah boleh beli emas berapa gram dengan RM700 itu?” Saya balas dalam nada mendatar: “Emas permata perhiasan badan, buku perhiasan jiwa.”

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.