Siapa dalang politik longkang?

(Published in Sinar Harian).

Aduh, kadang-kadang bila berkomunikasi dengan ahli politik – samada dalam internet atau secara fizikal – perasaan saya berbelah bahagi. Rasa ingin menangis dan ketawa berdekah-dekah sama berat jisimnya. Ironis sekali bukan?

Pohon diri menjadi penglipurlara Rabu ini, kerana ada cerita yang ingin saya gebangkan. Bukan niat untuk membawa umpatan-umpatan mulut, tetapi semoleknya yang baik itu kita jadian teladan, yang jahat itu kita jadikan sempadan.

Sabtu lalu, mata payah untuk lekang dari skrin komputer riba dan BlackBerry kerana saya tekun mengikuti perjalanan pilihanraya negeri Sarawak. Laman Twitter jadi pilihan, kerana rakan-rakan saya di sana, selalunya lebih tangkas dari media apabila menyampaikan berita.

Tiba-tiba mata saya tersambar kicauan seorang ahli politik pembangkang yang berbunyi, secara verbatim, begini: “Baru Bian menang di Baka Lalan.”

Saya kicau semula tulisan tersebut pada jam 4:37 petang, dengan susulan soalan yang meragui kebenaran kicauan beliau, kerana rakan media saya di Ba’Kelalan baru sahaja menelefon saya untuk memberitahu, kertas undian masih dikira dan setakat jam 4:30 petang, Baru Bian mendahului calon Barisan di sana.

Buat saya yang selalu dikerah untuk tepat apabila berhujah di mahkamah atau menulis dalam media, makna ‘menang’ dan ‘mendahului’ itu besar bezanya.

Tidak mengapa, mungkin dia terlalu gembira lantas tersilap kicauannya. Saya terus bertanya dan bertanya lagi.

Bila akhirnya dia menjawab, hambar sekali. Kicauan awal yang saya huraikan secara verbatim di atas telah dipadamkan, lalu beliau mengeluarkan kicauan baru yang membetulkan ejaan dari ‘Baka Lalan’ kepada ‘Ba’Kelalan’.

Tegas si politikus lagi, sekarang beliau sudah membetulkan kicauan awal yang kononnya salah ejaan sebentar tadi. Apa lagi yang sama mahu?

Bebal benar saya ini di mata beliau? Soalan yang hakiki diketepikan dan digantikan pula dengan isu picisan salah ejaan.

Pohon maaf saudara, saya bukan spelling gestapo tetapi sekadar mencari fakta. Betul sungguh kata orang, jika seseorang ahli politik itu tidak dapat menjawab soalan, mereka akan mengelirukan fakta. Sudahlah tidak telus, menipu pula…

Tidak cukup dengan tidak menjawab soalan, kicauan bohong dipadam, lalu cuba disembunyikan isu menipu itu dengan salah ejaan, datang berbondong pencacai-pencacai ahli politik tersebut (selalunya mereka ini memanggil diri ‘penyokong’ atau ‘pemerhati politik’), lalu memanggil saya dengan nama indah-indah seperti ‘janda @elviza’ dan ‘balaci UMNO’.

Kadang-kadang saya hairan, bila agaknya mereka itu ingin sedar bahawa bukan semua orang mempunyai pegangan politik berkiblatkan Barisan atau Pakatan.

Saya punyai ramai rakan-rakan yang senang berada di atas pagar, setiap hari memerhati di laman web dan media konvensional apa aktiviti si politikus, sampai hari mengundi mereka akan membuat keputusan.

Mungkin beliau lupa memohon maaf itu lebih besar dari melakukan sesuatu kekhilafan. Apabila mana-mana ahli politik mampu mengakui kekurangan diri secara terbuka, lazimnya rakyat akan berasa rasa hormat kepada mereka.

Dan rasa hormat itu sukar luntur walau di hakis ombak masa. Tetapi apabila sudah terang-terang melakukan kesalahan dan ditambah pula dengan bohong, apa akibatnya? Tepuk dada, tanya minda.

Saya cadangkan kepada si politikus yang berpesan agar saya ‘jangan menghempas diri’ itu untuk mencontohi rakan sejawat seperti Nik Nazmi atau Tony Pua.

Idea mereka bernas lagi kontemporari, walaupun kadang-kadang masih punya ruang untuk diperhalusi, mereka berdua sentiasa mencabar fikiran saya.

Secara peribadi saya cukup benci dengan politik longkang yang gemar memalukan sesama sendiri, berperang di alam siber, siapa ada video lucah siapa? Sekiranya video itu wujud, harus segera dipaparkan kepada media. Tapi kalau video tersebut hanya satu konsep dalam kepala semata-semata, si politikus akan berkata: “…tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar, namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua dikutip dan dibakar.”

Huh, kalau di mahkamah sudah tentu telinga jadi bara disambar sinis yang arif tuan hakim, apabila alegasi hanya dialas dengan airliur semata! Contoh mutakhir apabila mulut lebih lancar dari otak.

Sebenarnya saya dan si politikus ‘budiman’ ini pernah bersua empat mata. Ketika itu beliau baru berjinak-jinak dalam arena politik dan diuar-uarkan untuk menentang satu lagi ahli politik kontroversial dalam pilihanraya tahun 2008. Ikhlas cakap, dalam pertemuan singkat di Bangsar itu, saya senang sekali dengan intonasi dan sikap lemah lembut beliau. Tiga tahun kemudian, dia tunjuk taring sebenar.

Kepada si politikus itu, saya harap saudara jangan bermimpi buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap! Akhir kalam, kepada sesiapa yang suka berbohong, saya bekalkan kata-kata hikmat milik novelis dari Russia, Leo Tolstoy: “Tuhan tahu, tapi menunggu.”