Songlap: Penata Konflik Insani

(Published in Sinar Harian,  21 December 2011)

Revolusional, mantap, fenomenal, sarat emosi dan bersifat sebagai agen depresan.

Itu antara kosa kata pilihan saya untuk menggambarkan impak Songlap, filem terbaru arahan pasangan pengarah suami isteri, Effende Mazlan dan Fariza Azlina Isahak, terbitan Grand Brilliance dan Red Films Sdn. Bhd. untuk menutup tirai perfileman negara di tahun 2011.

Dalam genre drama berat, bertiraikan metropolis Kuala Lumpur, Effende dan Fariza telah menghalakan lensa kamera untuk menghuraikan jalan cerita paling kreatif sejak saya menjadi pemerhati industri filem tidak bergaji.

Sedikit sinopsis filem ini sekadar pelengkap ruang pemahaman:  dua adik beradik, Am (Shaheizy Sam) dan Ad (Syafie Naswip) bekerja sebagai budak suruhan dalam sindiket permedagangan bayi, milik Mama (Eliza Ong), yang bertanggungjawab menyediakan rumah sementara untuk ibu-ibu mengandung sehingga bayi mereka lahir dan sedia untuk dijual.

Setiap kali bayi yang dilengkapi dengan surat beranak palsu berjaya dijual, Am akan menerima komisyen yang langsung tidak berbaloi dengan risiko yang diambil. Lantaran mendorong Am untuk ‘menyonglap’ RM2,000 secara langsung dari pembeli bayi dalam setiap transaksi jualan – atas nama ikhtiar hidup.

Konflik timbul antara dua beradik apabila Ad tawar hati untuk terus terlibat dengan aktiviti permerdagangan haram; sementara sub-plot pula berkisar tentang Hawa, gadis malang dalam kancah sumbang mahram, yang sedang bertarung untuk bebas dari cengkaman yang sama.

Songlap jadi revolusional kerana pengarah berani bikin filem lain dari yang lain, lalu menjadikan Songlap sesuatu yang menyegarkan dalam industri di mana genre seram atas landasan amalan songsang, masih dominan.

Dan selagi kita masih bercakap tentang ikhtiar hidup, Songlap dengan berani telah memperbutirkan gejala sosial di Kuala Lumpur, menghuraikan apa yang gelap dan menakutkan di kota ini, bukan semata bangunan pencakar langit dan pusat menjana wang ringgit semata. Songlap juga beri peringatan bahawa orang-orang lorong, rata-rata tidak memilih jalan hidup begitu, selalunya mereka terhumban lantas harus belajar menongkah arus untuk terus hidup.

Atas platform sinematografi tahap hampir sempurna dan seni pemilihan scene yang amat deskriptif, Songlap telah menunjukkan satu dunia di mana garis yang membezakan antara hitam dan putih, dosa dan pahala, hak dan batil, jadi kabur dalam desakan hidup seharian. Pendek kata, dalam jalan cerita Songlap, tiada yang hitam atau putih, semuanya kelabu dan subjektif. Terpulang kepada penonton untuk membuat kesimpulan tersendiri.

Dan yang paling istimewa, buat saya sekurang-kurangnya, adalah mesej-mesej subliminal yang tersembunyi dalam setiap scene dan lontaran dialog. Untuk insan-insan tertindas dalam grup subculture seperti filem Songlap, luahan perasaan selalu terbantut, hanya ekspresi wajah yang mampu menzahirkan rasa sebenar.

Bertunjangkan ekspresi wajah pelakon yang mantap, Shaheizy Sam, mendahului aktor-aktor lain apabila beliau cemerlang dalam menghayati watak seorang abang yang sanggup mati untuk adiknya. Walaupun dia tidak sempurna – bertuhankan ringgit, judi dan mencari rezeki secara haram – Ad adalah dunia buat Am. Am rela mengambil risiko dikelar parang samseng sindiket, asalkan ubun-ubun Ad tidak disentuh. Shaheizy Sam, seperti juga Bront Palarae, dilahirkan untuk berlakon dan mencabar tahap keberkesanan seni lakonan untuk pelakon-pelakon kontemporari mereka.

Nama-nama seperti Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi dan Omar Abdullah tidak memerlukan pengenalan terdahulu. Mereka itu, walau dihumban dengan watak apa sekalipun, tetap mampu jadi epik lagi tersendiri.

Songlap juga fenomenal sebagai penata konflik insani yang sering dikecam masyarakat. Filem ini menunjukkan apa yang ditermakan sebagai penyakit sosial, celupar menyelar sesetengah kita yang cepat membuat tanggapan negatif. Hati-hati kerikil dalam kancah pelacuran, penagihan dadah, pemerdagangan orang dan judi, juga punya rasa, cinta dan jiwa untuk jadi lebih baik.

Filem pertama arahan Effendi dan Fariza, Kami, sudah lama mencuri hati peminat filem yang dahagakan genre di luar lingkungan. Masih teringat betapa saratnya rasa tatkala menonton adegan dua sahabat yang sedang menahan rakan mereka, Abu, dari berjumpa sakaratul maut dalam kereta. Kini, derita menunggu filem susulan selepas Kami  sudah terubat dengan munculnya Songlap di layar perak.

Cerita ini bukan untuk pencari hiburan picisan; cerita ini juga tidak diselangi elemen-elemen melodrama terlampau; cerita ini untuk mereka yang memahami bahawa hidup bukan pelangi.

Teringat kata-kata Leo Tolstoy semasa membuka kata dalam novel Anna Karenina: “All happy families resemble each other, each unhappy family is unhappy in its own way.”

One thought on “Songlap: Penata Konflik Insani

  1. (Off-topic) I’ve discovered something: I can actually click on the email link and come to WordPress blogs with this hand-me-down BlackBerry (kakak Aniza bagi). It would often hang if I go to normal (not mobile or ‘m.’) sites like the Los Angeles Times.

    So why is this important? It’s because many people now tend to use smartphones to immediately follow links. Never thought I’d do so too; feeling that I would only be comfortable with a laptop. Surprisingly, reading from a BB is quite tolerable.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s