Demonstrasi Jalanan: Budaya Demokrasi atau Kebejatan Sosial?

(Published in Sinar Harian on September 17, 2009)

Mutakhir ini deria penulis kerap melihat, mendengar dan membaca tentang polemik demostrasi jalanan di media tradisional mahupun moden. Sewaktu bersekolah di pedalaman Kelantan dahulu penulis tidak pernah tahu apa itu demonstrasi – kecuali semasa ibu membuat demonstrasi Tupperware di rumah bersama jiran-jiran terdekat  di awal 80an.

Dalam konteks kehidupan kita hari ini, demonstrasi jalanan lazimnya dihubung kait dengan agenda politik tempatan. Lucu bila melihat makcik-makcik separuh umur turut melonjakkan sepanduk dan poster, geram bila terperangkap dalam kereta berjam-jam kerana jalan ditutup untuk memberi laluan kepada penunjuk perasaan; marah apabila melihat si kecil turut diheret bersama untuk melihat dan terkilan apabila gas pemedih mata dilemparkan ke arah mereka.

Secara peribadi penulis juga pernah berdemonstrasi ala kecil-kecilan di Walk of Justice dalam tahun 2007, di mana beribu peguam (yang masih berdaftar dan belum dinyahkeluar dari senarai-peguam oleh Majlis Peguam) berjalan dari Istana Kehakiman hingga ke kaki Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum menuntut badan kehakiman dibersihkan dari pengaruh anasir luar. Yang penting, kami tidak mahu hakim-hakim yang bijaksana diperdagang atau dijual-beli.

Demontrasi tersebut juga tidak berpermit,tetapi penulis berasa amat teruja kerana dapat menunjukkan apa yang difikirkan terkhilaf dalam badan kehakiman negara.  Walaupun disimbah hujan lebat semasa berjalan, lenjun baju dan dingin yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum tidak terasa kerana tegarnya pendirian di hati untuk menyelamatkan sistem keadilan kita yang sering dikutuk dan disangsikan kebebasannya.

Ketika itu, dalam hati terdetik, bila peguam yang berarak tidak pula FRU menyemburkan gas pemedih mata? Takut disaman dari segenap penjuru nanti agaknya!

Pada bulan Jun yang lepas, penulis sekali lagi terserempak dengan demonstrasi jalanan, kali ini ketika berjalan bersama selembar peta dan sebuah kamera lapuk di Murray Street, Perth. Lebih 1000 warga Perth berdemontrasi membantah kematian seorang lelaki kaum asli Australia, Ward, semasa berada dalam tahanan polis kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di dalam perjalanan untuk dipindahkan dari Laverton ke penjara Kalgoolie – yang jaraknya lebih kurang 400 kilometer merentasi cuaca panas terik – lelaki tersebut telah menemui ajalnya di dalam van penjara kerana kerosakan alat penghawa dingin tanpa disedari oleh pemandu dan pegawai polis yang duduk di bahagian depan.

Bedah siasat yang telah dijalankan terhadap mendiang Ward menunjukkan beliau telah mengalami kebakaran peringkat ketiga dan hyperthermia apabila suhu di dalam kenderaan berlantai dan berdinding besi tersebut mencecah 50 darjah selsius. Pendek kata, Ward telah “dipanggang” sehingga mati yang memankinkan kemarahan penujuk perasaan pada hari itu. Mereka menyalahkan jabatan penjara dan kerajaan Labour yang memerintah ketika kejadian itu berlaku.

Apa yang amat menarik perhatian penulis ini ialah apabila menyedari hanya dua orang anggota polis sahaja yang mengawal tunjuk perasaan tersebut. Mereka juga rancak berbicara sesama sendiri tanpa mempedulikan penunjuk perasaan yang menjerit-jerit dan menghunus sepanduk di udara.

Tidak kelihatan beratus anggota polis; tiada Black Maria di pinggir jalan; tiada salur gas pemedih mata; tiada ancaman atau ugutan dari pihak berkuasa. Suka hati lah berapa lama hendak menunjuk perasaan asalkan ketenteraman awam tidak dikompromikan.

Suatu demokrasi yang amat ideal di mata penulis.

Ketika menuntut di luar negara dahulu, penulis juga sering terkandas perjalanan apabila pekerja British Railway atau London Underground berpakat mogok menuntut kenaikan gaji. Terpaksa naik kaki hendak ke mana-mana, kadang-kadang sehingga berhari lamanya.

Dalam setiap masyarakat bertamadun, kebebasan bersuara tanpa batas mencerminkan tahap kepercayaan yang jitu di antara rakyat dan pemerintah. Walaubagaimanapun, di akhir Ramadhan ini, penulis ingin mengajak pembaca untuk merenung kembali apa yang terjadi di Shah Alam baru-baru ini. Kebebasan bersuarakah yang kita cari apabila penujuk perasaan menggunakan kata-kata kesat untuk melepas amarah di dada? Perlu kah kepala binatang diarak dan dicerca?

Penulis teringat kepada terjemahan Surah Al-Kafirun oleh saudara Abdullah Yusuf Ali yang berbunyi: “Untuk mu agama mu dan untuk ku agama ku”.

Apa yang kurang di sini hanya satu: Toleransi. Satu elemen yang sangat getir apabila kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

Untuk ingatan kita bersama juga, di antara menjadi seorang pemimpin dan seorang yang dipimpin itu amat dalam jurang permisahnya. Mudah untuk mengkritik dari luar padang permainan tetapi apabila diri sendiri terkena, baru kita rasa peritnya.

Natijah yang dapat saya simpulkan hari ini, sudah menjadi fitrah manusia untuk menyanggah apa yang dirasakan salah, tetapi wajarkah batas-batas kesopanan dan susila kita orang Timur di perjudikan atas nama kebebasan bersuara? Apatah lagi apabila kita mencaci-cerca di bulan Ramadhan – pengulu segala bulan di mata Tuhan.

Tepuk dada tanya selera. Salam Aidilfitri.

  • Elviza Michele Kamal ingin mengikut resam padi, semakin berisi, semakin menunduk. InsyaAllah.

(Picture stolen from Haris Ibrahim’s blog)

5 thoughts on “Demonstrasi Jalanan: Budaya Demokrasi atau Kebejatan Sosial?

  1. orang lain berdemonstrasi secara bertamaddun, sebab tu hanya dua kerat polis pun cukup. pihak pembangkang di malaysia berdemonstrasi menjurus ke arah keganasan.. itu tabii mereka….

  2. Oh my! Never thought you are equally eloquent in Bahasa. With style some more. You are born to write, Elviza. I just miss your musing in Sleepless in Setiawangsa or when you talk about love. It’s so classy.

    On the issue, I am married to an Indian man, we just dont talk about it. Imagine how he feels?

  3. Saudari Elviza,

    Mungkin lebih `afdal bagi saya menyimpan di sanubari hati diri sendiri akan pendapat saya berkaitan dengan tajuk ini.Niat sebenar kali ini hanya untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin” kepada saudari sekeluarga.Semoga bulan Ramadan yang sungguh mulia itu, yang baru beredar, sempat memberi kita sedikit bekalan dalam bentuk kesedaran betapa halusnya kewujudan diri ini berbanding dengan luasnya alam maya yang dihasilkan oleh Nya,dan bekalan ini guna untuk bulan-bulan seterusnya sebelum Ramadan muncul kembali,Insyallah, selagi hayat masih dikandung badan.

    Teruskan penulisan saudari yang sungguh indah itu walau di dalam ke dua-dua bahasa puin.

    “All the best!”

  4. Lenggok bahasa yang bersahaja tetapi sedap di baca. Walau pun saya tidak bersetuju dengan beberapa pendapat Saudari.

    Akan beli Sinar harian dari sekarang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s