Kuasa sebenar di tangan siapa?

(Note: This is my ‘tamed’opinion in respect of political impasse in Perak. Published in Sinar Harian)

SELASA lepas saya disergah oleh jurubahasa mahkamah ketika sedang ralit menekan papan kekunci di BlackBerry walaupun nombor kes sudah tiga kali dipanggil. Kus rasanya semangat! Padan muka, memang salah diri sendiri. Bukannya apa, pada hari itu semua ahli profesion undang-undang dan kehakiman negara – termasuk seluruh rakyat Malaysia – sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam menentukan siapa menteri besar Perak yang sebenarnya: Nizar atau Zambry. Sudah lewat satu tahun sejak Perak berada di kancah krisis perlembagaan. Dan kerana hari itu saya berada di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bukannya di Istana Keadilan di Putrajaya, cara yang terpantas untuk mengetahui berita terkini ialah melalui laman portal mikro-blogging: Twitter.

Terlebih dahulu saya ucapkan selamat datang ke dunia mikro-blogging. Keajaiban alam siber masa kini: walau di mana anda berada, berita semasa terletak hanya di kekunci BlackBerry atau iPhone. Kalau dulu, kena tunggu berita jam 8, atau silap-silap kena tunggu suratkhabar keesokkan harinya, kini tidak lagi: jam itu, minit itu, saat itu juga umum sudah mengetahui apa yang terjadi. Kesimpulannya kita semua sudah tahu – cuma bezanya lambat atau cepat sahaja – bahawasanya kedudukan menteri besar Perak kekal di tangan Zambry.

Usul yang asalnya dibawa oleh Nizar ke Mahkamah Tinggi itu telah melalui proses kehakiman di Mahkaman Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya di Mahkamah persekutuan. Rayuan Zambry di Mahkamah Persekutan telah didengari oleh lima hakim, yang telah sebulat suara berpendapat bahawa Zambry adalah menteri besar Perak yang sah. Saya kerap diajukan soalan yang berbunyi lebih-kurang begini: apa yang sedang kecoh-kecoh di Perak itu? Sekiranya saya bercita-cita besar untuk memperhalusi written judgment sepanjang 65 mukasurat itu, bukan anda sahaja boleh tertidur, saya yang tengah pegang pensil ini pun boleh tertidur juga! Jadi mari kita ringkaskan fakta dan keputusan supaya anda boleh merumuskan pendirian masing-masing –  samaada kita setuju atau tidak dengan itipati keputusan Mahkamah Persekutuan. Selebihnya, jika anda ingin tahu dengan lebih terperinci, sila tekan ‘klik’ di laman lebai Google.

Krisis siapa menteri besar Perak bermula apabila tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menjadi ‘kawan’ kepada Barisan Nasional, tahun lepas. Serentak itu, dewan rakyat Perak berantakan; kehormatan wakil rakyat dipertaruhkan. Habis bertelagah, mereka ke Mahkamah. Akhirnya kita sampai di penghujung jalan minggu lepas, Zambry kekal sebagai menteri besar. Menurut saudara M Reza Hassan, peguam yang bertindak bagi pihak Zambry, beliau berpendapat bahawa keputusan mahkamah tertinggi di Malaysia itu adalah adil dan saksama, kuasa kesultanan tidak boleh disangkal atau dipersoalkan. Sementara itu pula, dalam memetik kata-kata saudara Edmund Bon (yang juga bertindak sebaga peguam untuk Nizar) keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut menjurus kepada satu titik-tolak: the return of monarchy. Bermula dari saat keputusan ini ditulis, rakyat akan berpendapat bahawa institusi raja-raja berhak untuk campur-tangan sekiranya berlaku pertelingkahan dalam DUN.

Itu pendapat peguam dan Mahkamah, apa pula pendapat rakyat Perak? Apa yang tidak mendapat liputan meluas di media ialah mengenai satu pungutan suara yang telah dijalankan oleh Merdeka Centre baru-baru ini. Pungutan suara tersebut telah menunjukkan bahawa 74% dari 507 pengundi di Perak berpendapat bahawa hanya pilihan suara yang dapat menyelesaikan political impasse di Perak. Dan sentimen ini diperolehi bukan hanya dari pengudi melayu, malahan juga pengundi cina dan india. Nah, fakta sudah terbentang di depan mata, sebagai netizen yang berinformatif, kita sudah boleh membuat pendirian sendiri.

Politikus negara jangan sekali-kali lalai: kuasa sebenar untuk menentukan siapa berhak untuk membentuk kerajaan negeri sentiasa berada dalam tangan rakyat. Dan setiap lima tahun, kuasa itu akan pulang semula ke tampuk. Jangan kita garang memukul  pentas mengajak lawan bersilat di kancah politik, sehingga lupa rakyat di luar gelanggang. Untuk kita pengundi, saya ingin memetik kata rakan-rakan di laman portal twitter: berhati-hati memangkah calon, tersalah pangkah kelak dapat katak!

Sebenarnya, sekelumit harapan singgah di benak saya apabila terbaca di laman web, yang kononnya Pakatan Rakyat tidak berhasrat lagi untuk terus mengusir Zambry dari kerusi menteri besar, atau bercanang untuk mendapatkan piliharaya semula di Perak. Tetapi harapan saya berkecai apabila niat Pakatan Rakyat untuk mengurangkan ketegangan politik di Perak itu diimbuhkan dengan empat pra-syarat. Bagi saya, keikhlasan – walau dalam apa jua bentuk –  tidak datang dengan kondisi. Tetapi saya bukan ahli politik, mungkin tanggapan saya itu dianggap idealis.

Sebelum saya disergah keluarga pula sebab balik lambat, saya noktahkan coretan saya minggu ini di sini. Selamat menyambut Tahun Baru Cina.

2 thoughts on “Kuasa sebenar di tangan siapa?

  1. Hai Kak,

    Mereka-mereka ini mencari jalan untuk mencapai tampuk kuasa tanpa memahami erti noktah. Setiap jalan, lorong tipu dan helah di gunakan walaupun mereka tahu setiap jalan memerlukan harga yang tinggi yang akhirnya akan dibayar oleh rakyat. Kadang-kadang saya hairan bila orang lain ada sebegitu banyak masa untuk berceramah, berarak dan berdemonstrasi. Bila masa mereka kerja untuk cari nafkah? Isteri dia orang tak marah ke? Anak-anak dia orang tak mintak top-up prepaid ke?

    Sebagai rakyat biasa kalau boleh saya ingin menjerit, “sudah lah tu! Kami susah nak cari makan ni. Ekonomi dan bukan Politik. Tak reti bahasa ke?”

  2. My personal opinion..masa bertanding you pakai tiket parti mana? If the katak pakai tiket bebas, then he can lompat anywhere..but if he stood for election on a party platform, he/she has no right to jump here and there..its not his personal property..

    And so he/she must be considered no more an MP/Adun and another election must take place..if they don’t introduce such strict regulations, we will be rearing so many frogs in the future..lompat sana lompat sini..especially kalau tak dapat kehendak hati and ada better offers elsewhere..ingat dia menang because of his personality..bukan harta nenekmoyang dia..obviously self-interest will rule his/her stupidhead!

    Memang fed-up with so many political bull frogs now..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s