Perempuan-Perempuan Istimewa

*Published in Sinar Harian on 10/03/2010. Click here to read the online version.

PAGI ISNIN di pejabat. Lelah benar untuk memantau rasa mengantuk. Tetapi rasa itu tangkas hilang tatkala membaca pesanan ringkas dari rakan di MRSM dahulu: “Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia.” Terus terang saya katakan di sini, pengetahuan diri tentang hari bersejarah itu memang cetek. Kata orang, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.

Berbekal rasa ingin tahu yang tegar, saya tekan segala kekunci di komputer riba untuk mendalami perihal sambutan hari wanita ini. Setelah meminggirkan kerja untuk hampir empat jam, barulah semangat sambutan Hari Wanita Sedunia (‘HWS”) itu mula singgah di kepala. Maklumlah, kebelakangan ini otak agak lembab untuk memahami sesuatu – mungkin faktor umur sudah mengekang tahap kecerdasan akal.

HWS asalnya disambut pada 28 Februari 1909, dan diasaskan menurut selembar deklarasi yang ditulis oleh Socialist Party of America. Buah fikiran yang melantaikan hari bersejarah ini lahir di persimpangan abad ke-20, di tengah-tengah perkembangan ekonomi dan industri yang telah membawa kepada proses bantahan terhadap keadaan bekerja untuk wanita.

Setelah lebih seratus tahun disambut di serata dunia, HWS telah dijadikan batu loncatan untuk merayakan setiap wanita yang menjadi tunjang keluarga, ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan banyak lagi. Walaupun sambutan ini lebih sinonim dengan fasal untuk menyuntik semangat perjuangan dan meraikan pencapaian wanita, sejarah penubuhannya lebih bersendikan tuntutan kenaikkan gaji dan hak mengundi bagi wanita.

Saya termanggu seketika memikirkan tentang wanita-wanita yang saya kagumi – samada yang masih hidup atau mati – yang banyak membantu saya mencatur kehidupan yang serba mencabar ini, baik secara langsung ataupun tidak.

Tan Sri Aishah Ghani, misalnya, wanita Malaysia pertama yang menebarkan sayap di langit politik negara. Semangat kenegaraan yang kental dalam diri Aishah telah mengheret beliau untuk menyertai perhimpunan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari genggaman jajahan British di Kelab Sultan Sulaiman pada tahun 1949. Selepas itu, tinta Aishah Ghani dan perjuangan wanita ini menjadi lagenda setiap wanita negara yang menjadikan politik sebagai suatu aspirasi.

Ataupun tentang seorang jururawat istimewa: Florence Nightingale. Pengorbanan Florence ketika Perang Crimean (1853) menjadi sebutan warga Eropah sehingga ke hari ini. Setiap malam, beliau akan bergerak dari satu katil ke katil yang lain – hanya bertemankan lampu di tangan – untuk mengubati tentera British yang cedera parah. Dalam keadaan kem tentera yang  serba kotor, kekurangan pekerja, ubat-ubatan dan makanan, Florence dan kawan-kawannya tidak pernah patah semangat untuk memulihkan pesakit yang diumpamakan seperti bernyawa di hujung tanduk. Sehingga kini, Florence Nightingale dinobatkan dalam sejarah sebagai “The Lady with the Lamp.”

Saya juga kagum dengan keupayaan Jane Austen yang mempenakan buku fiksi wanita yang tak lekang di panas, tak lapuk dek hujan: Sense & Sensibility. Austen telah memaparkan kompleks kehidupan dua wanita adik beradik kelas atasan, Elior dan Marriane Dashwood. Kemampuan Austen mengupas isu percintaan, keistimewaan anak lelaki dari segi pembahagian harta, muzik dan perasaan wanita di dalam satu judul telah menjadikan buku itu amat berharga di rak saya.

Ataupun tentang guru kimia saya di tingkatan empat, Cikgu Fabilah Abdul Rahman. Mata pelajaran yang kurang telus di otak itu menjadi senang diajar beliau. Berbekalkan suara yang lantang, tahap kesabaran tidak bersempadan dan pelbagai petua pembelajaran, setiap pesanan Cikgu Fabilah masih kekal di minda saya sehingga ke hari ini. Kalau ada lebih ramai guru berdedikasi seperti beliau, sistem pendidikan kita pasti akan menjadi lebih hebat.

Dan ramai lagi wanita berbakat dan bersemangat kental yang pernah saya temui. Bekas editor akhbar Malay Mail, Sheila Rahman, yang percaya saya mampu menulis; yang bersengkang mata menyunting penulisan saya (yang sentiasa lambat dihantar) agar menjadi lebih mantap. Begitu juga rakan blogger, Dalilah Tamrin, walaupun sedang berjuang menentang kanser beliau tidak pernah lupa untuk meniti hari-hari yang lebih bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan. Mereka semua wanita istimewa di mata saya.

Tetapi, antara wanita-wanita ini, yang paling istimewa adalah mama dan nenda saya. Mama masih kuat ‘membesarkan’ kami adik-beradik walaupun kami sudah berkeluarga sendiri. Jika dulu dia membanting tulang membantu ayah membesarkan kami, dia kini masih tegak memberi panduan untuk saya membesarkan anak dan menerajui alam dewasa. Dan nenda, nenda sentiasa percaya bahawa saya mampu untuk mencapai bintang; sentiasa menyelit nasihat bahawa agama dan pendidikan adalah asas pertama kehidupan saya. Tanpa mereka, siapalah saya.

Lihat sahaja di sekeliling kita, ada wanita istimewa di setiap institusi kekeluargaan, politik, sosial, sains perubatan, pendidikan, guaman hatta seni sekalipun. Dan sekiranya anda seorang wanita, tarik nafas seketika untuk meraikan diri sendiri. Kerana anda telah menjadikan dunia ini lebih bermakna.

6 thoughts on “Perempuan-Perempuan Istimewa

  1. OMG! Cikgu Fabilah was already there during your time? Wow. But she never taught me lah (But she taught the ex. And everybody liked her in school she’s one of the favourites). I was taught by Cikgu Hamat. Who would say “korang semua ni balik rumah sembelih kerbau kawin jelah kalau trial exam pon dapat P7”. I got C4, but didn’t get the chance to tell him that I actually got a decent credit instead of P7 like my trial. Haha.

  2. Salam,

    Catatan pertama saya di ruang sdr. Pada pandangan saya semua wanita istemewa. Malahan, terlalu istimewa dengan keterampilan tersendiri. Andai cela yang dicari tentu bersua. But why? Let focus on their greatness.

    Suri-suri di luar sana, my dearest mom (and everyone else’s mom), my darling Ayu (and other man’s wife/wives), my sweet Indah Nurani & Murni Kaseh (and all the children), ; “…setiap hari milik anda semua, not just one single day”.

  3. Salam Elviza,

    Have not been leaving comments for long but I read all of the new posting. Agreed with ubistela, you are far from “picisan” in fact you yourself also “istinewa”.

    I told my other half the same thing whenever I can, I hope she knows how special she is as a woman, as a wife, mother to my children. Kudos to the women of the world…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s