Kadar Jenayah: Antara Realiti & Statistik

(Published in Sinar Harian newspaper on 2 June 2010)

DUA MINGGU lepas, sekiranya daya ingatan masih boleh diterimapakai, saya ada terbaca di akhbar bahawa kadar jenayah negara sudah turun dengan drastik. Ini petanda bagus, saya (dengan naifnya) berbisik kepada telinga sendiri.

Tetapi, antara realiti dan skala statistik yang terpampang di dada media, adalah dua hukum yang berbeza.

Mutakhir ini, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kita semua mempunyai kawan atau ahli keluarga yang pernah menjadi mangsa jenayah. Lebih buruk lagi sekiranya anda sendiri mempunyai pengalaman sebagai mangsa ragut, rompakan atau pencabulan.

Dinihari Rabu lepas, ketika kakak ipar dan ibu mertua saya sedang lena diulit mimpi, pagar elektronik rumah mereka telah diumpil dengan besi: Toyata Rush milik kakak ipar, yang masih berkilat baru, dikebas perompak yang tidak berakal dan berhati-perut!

Baru sahaja selesai urusan di balai polis dan syarikat insuran, ketua pengawal kawasan rumah saya, mampir menekan loceng di pagar. Kata beliau, saya dan suami diminta jangan sesekali membiarkan pagar rumah lohong tidak berkunci.

Tambah si ketua pengawal lagi, semalam di kawasan sebelah perumahan kami, Laman Puteri 8, telah dirompak. Bukan sebuah rumah sahaja yang terlibat, si perompak telah mencabul keselamatan tiga buah rumah berturut-turut!

Musibah apa ini? Saya memberontak dalam hati.

Terus saya mendesak suami agar membayar yuran syarikat penggera keselematan untuk kediaman peribadi. Rumah yang dibeli oleh suami dengan hasil titik peluh sendiri pun rasa goyah tidak selamat. Gerun benar untuk meninggalkan keluarga ketika pergi bekerja.

Di zaman yang kononnya serba canggih ini, alat penggera dan kamera litar wajib dipasang di rumah dan di kereta – itu pun belum tentu selamat dari akal panjang si penjenayah.

Wang melayang semata-mata untuk ‘membeli’ perasaan selamat.

Bercakap tentang rasa selamat, saya ada dua pengalaman peribadi di luar negara yang ingin saya kongsi dengan pembaca Sinar Harian. Mudah-mudahan pengalaman tersebut dapat kita iktibarkan bersama.

Ketika di Seoul baru-baru ini, setelah lelah berkelana (sebenarnya saya sesat) di Dongdaemun, syurga barang-barang picisan kota tersebut, saya masuk ke dalam pusat membeli-belah Shinsegae untuk menggunakan tandas.

Tatkala melangkah ke dalam ruangan yang bersih dan mewah itu, ada seorang wanita Korea sedang membedak muka di depan cermin. Kemudian beliau melirihkan cincin berlian keluar dari jari; jam jenama Rolex turut diloloskan dari pergelangan tangan.

Apa yang pelik, sebelum beliau masuk ke tandas, kesemua barang-barang berharga tadi, ditinggalkan sahaja di sebelah tas tangan (bukan calang-calang label tas tangan beliau, buatan Perancis, jenama Hermès) di tepi sinki!

Saya terlopong kehairanan. Hilang akalkah perempuan ini? Tidak takut kalau barang-barang tersebut dikebas orang?

Rasa tidak puas hati membungkam di kepala. Saya tunggu beliau keluar dari bilik kecil. Apabila terlihat kembali kelibat wanita separuh umur itu, saya melulu bertanya: “Why did you leave your handbag and watch outside? What if they get stolen?”

Dengan tenang, wanita itu tersenyum manis seraya menjawab: “Welcome to Seoul, my dear. It’s a very safe city.”

Terkedu saya mendengar jawapan tulus itu.

Bagaimana warga kota Seoul – kota kelima terbesar di dunia dengan 10.3 juta penduduk – merasa begitu selamat?

Lewat sedekad lalu, saya juga pernah cuai meninggalkan beg sandang dalam keretapi ketika dalam perjalanan dari Birmingham ke London. Di dalam beg, walaupun hanya ada 30 pound sterling sahaja, tetap mengandungi dokumen-dokumen berharga seperti pasport, kad pelajar dan wang plastik.

Keesokkan harinya, setelah menyedari kecuaian diri, saya berlari ke unit Lost & Found stesen keretapi St. Pancras. Beg saya ada di situ. Isi kandungan beg ‘tidur’ lena tidak terusik oleh sesiapa.

Saya bertanya kepada diri sendiri, sekiranya perkara yang sama berlaku kepada saya di Kuala Lumpur, apa yang agaknya yang anda rasa akan terjadi?

Maaf saya lantang mengkritik, bukan niat saya untuk membeza-bezakan tahap keselamatan kota-kota asing, selain dari Kuala Lumpur yang amat dekat di hati.

Namun, menyangkal hakikat bukan fitrah minda saya.

Jadi, kenyataan Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka telah berjaya menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 38.7% dan kadar jenayah keseluruhan sebanyak 15.3%, kedengaran cela serta rengsa di telinga saya.

Hari ini kita hanya berbicara tentang isu rompakan tanpa menyentuh jenayah-jenayah lain yang beraja di mata, bersultan di hati seperti penculikan, pencabulan kehormatan kanak-kanak dan wanita, penyalahgunaan narkotik dan gangsterisma.

Saya tidak mempertikaikan, jauh sekali untuk memperkecilkan usaha dan jasa pihak Polis, Rela atau Kementerian Dalam Negeri itu sendiri. Tetapi setelah membaca ruangan ini sehingga ke penghujungnya, masihkah anda berasa selamat di kota ini?

Jawapan anda dan saya, sama sahaja.

  • Elviza Michele Kamal sentiasa pesimis terhadap statistik. Beliau juga seorang peguam yang berkicau di http://twitter.com/elviza

7 thoughts on “Kadar Jenayah: Antara Realiti & Statistik

  1. Kagum saya mendengar tentang tahap keselamatan di Korea…Di sini berada di dalam rumah kita sendiri pun rasa tak selamat.Sejak kehilangan kereta saya baru2 ini di parking lot hospital,nak keluar membeli belah pun rasa malas dan phobia,seakan2 ada yg mengekori saya dari belakang.
    Apabila membeli kereta baru,saya terpaksa spent a thousand over just for security of the car..
    sememang nya rasa tidak tenteram dan curiga sekali..
    Kenapa kecurian n rompakan menjadi2?Kehadiran pendatang asing?Rakyat yang semakin hilang nilai2 murni?Kawalan pihak berkuasa?…
    Apa pun our neighbourhood is not safe like it used to be…

  2. setujukah kalau saya katakan sejak kita mengimpot pendatang2 asing ke negara kita utk bekerja di sini maka bermulalah jenayah2 seperti pecah rumah, merogol, mangsa ragut dan seribu satu masalah sosial semakin berleluasa di negara kita?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s