Pendidikan Seks: Bukan Perkara Taboo

Published in Sinar Harian, 14 July 2010.

JIKA sekali lagi saya mendengar atau membaca kes-kes membuang janin atau bayi, saya sendiri akan pergi mencari manusia yang bertanggungjawab itu (kalau mereka berada dalam tahanan reman, saya akan pergi ke balai polis), kemudian saya akan meminta izin untuk berceramah kepada mereka tentang agama, budaya, pendidikan seks dan sains perubatan yang berkenaan dengan cara merancang keluarga secara selamat dan efektif.

Saya tidak pasti samada ceramah itu mampu untuk mengubah apa yang telah berlaku, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu, saya tidak duduk diam berpeluk tubuh sahaja.

Mutakhir ini, apabila berita bayi atau janin dibuang terpapar di dada media, kita akan terkejut lalu melatah dengan amarah. Kita memekik-mekik kepada pihak berkuasa agar segera mengenakan tindakan undang-undang yang setimpal ke atas mereka yang terlibat atau bersubahat.

Kita gesa badan bukan kerajaan supaya membuka tempat-tempat perlindungan sementara, seperti orphanCARE, untuk menolong mereka yang tersepit. Tidak cukup dengan itu, kita mengkritik, mengutuk dan menghakimi ibu-bapa yang gagal dalam mendidik anak-anak mereka untuk menjauhi seks di luar nikah.

Lalu kita rasa lega. Kononnya, selesailah tanggungjawab kita kepada masyarakat.

Namun itu semua, pembaca budiman, tindakan refleks insan dalam mengubati akibat, bukannya menangani punca benda-benda jahanam itu terjadi.

Seks tanpa lafaz akad dan nikah, lumrahnya sama seperti serangan selsema. Sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, pasti serangan itu dapat kita elakkan. Apabila berbicara tentang subjek taboo seperti pendidikan seks, kita orang timur selalu rasa tidak selesa, malahan ada yang menganggap seks itu kotor dan lucah.

Sekali lagi kita terkhilaf.

Seks tidak kotor, berdosa atau sesuatu yang taboo. Seks adalah naluri lahiriah dan keperluan fizikal yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap insan. Jadi saya tegaskan di sini, dengan lantang dan tanpa kondisi, bahawa perihal membuang bayi berlaku kerana kita tidak mendidik generasi di bawah kita dengan pendidikan seks yang sempurna.

Betul, sekiranya generasi muda kukuh asas agama dan nilai ketimuran, mereka tidak akan membuang bayi. Tetapi lupakah kita bahawa agama dan nilai tidak boleh diterjah begitu sahaja ke dalam minda muda mereka? Alpakah kita bahawa iman tidak dapat diwarisi atau dijualbeli? Sekiranya mereka lalai lalu terlibat dalam kancah seks bebas, masihkah kita betah menyumbat apa yang halal dan haram ke telinga mereka? Menyuruh mereka pulang ke pangkal jalan? Walaupun perkara terkutuk itu sudah berlaku?

Pada saya, jalan keluar yang hakiki dalam membentaras gejala buang bayi, hanya satu: Pendidikan seks.

Skala pendidikan seks yang baik di sekolah mahupun di rumah, mampu melantaikan remaja kita tentang keperluan batin manusia serta menerapkan sikap positif dan bertanggungjawab apabila berhadapan dengan seks. Dengan syarat, program pendidikan tersebut mestilah mengandungi informasi yang tepat untuk menggalakan generasi muda melindungi diri, menahan nafsu dari melakukan seks sehingga mereka benar-benar bersedia. Juga untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan terhadap risiko yang bakal mereka hadapi. Dalam kata-kata lain, kita teraskan ke dalam hati mereka, nilai untuk menghargai diri sendiri.

Pendidikan seks yang sempurna akan menjadi instrumental dalam mengekang fenomena membuang bayi, dan juga dapat mengurangkan kecenderungan untuk melakukan kegiatan seks agresif seperti rogol dan sumbang mahram. Sambil kita menyelam, kita minum air. Juga saya fikir, sesi kaunseling dapat membantu.

Bukan saya buat-buat pekak dan bisu kepada bahas-bahas yang mengatakan bahawa pendidikan seks hanya menggalakkan remaja untuk berkelakuan sumbang. Dan sekiranya laporan akhbar yang mengatakan pendirian Tok Guru Nik Aziz bahawa mengajar pendidikan seks seumpama mengajar pencuri untuk mencuri dengan betul, boleh diterimapakai, saya tidak setuju sama sekali. Cara mendidik tidak sama di masa dahulu dan sekarang. Kalau kita halang membabi-buta, buruk padahnya nanti.

Saya juga ingin berkongsi dengan pembaca budiman berkenaan dengan kaji selidik yang telah dijalankan oleh World Health Organization. Ahli pakar sains reproduktif telah berpendapat bahawa tiada bukti dapat menyokong penegasan yang mengatakan pendidikan seks hanya akan menggalakkan eksperimentasi. Malahan, program pendidikan seks mampu memantau kecenderungan anak-anak muda untuk terlibat dalam aktiviti seksual secara rambang.

Watikah saya Rabu ini tidak bertujuan untuk menghalalkan apa yang haram, tetapi saya akan mati beragan sekiranya saya tidak menyuarakan pendapat di atas landasan yang bernama pendidikan.

Soal menerapkan pengetahuan seks di peringkat awal ini tidak harus diimbangkan di atas pengukur nilai-nilai budaya timur atau barat. Apabila masa untuk kita mendidik sudah tiba, lapangkan minda, tegarkan hati. Nescaya hasil yang baik akan timbul sekiranya niat kita tulus.

2 thoughts on “Pendidikan Seks: Bukan Perkara Taboo

  1. Paparan blog yang cukup bernas dan kritis mengeni gejala yang kita hadapi sejak kebelakangan ini. Saya kira bukan sahaja para remaja perlu diberi pendidikan sex, bahkan masyarakat juga perlu disuntik sifat empati, sesuatu yang menurut pemerhatian saya semakin terhakis. Kerana kerasnya masyarakat tempatan terhadap kesalahan seperti ini menyebabkan para remaja tidak berani menyuarakan masalah mereka, dan memandangkan usia mereka yang masih mentah dan pemikiran mereka yang masih tidak matang, akan melakukan perkara seperti ini.
    Satu lagi punca masalah kehamilan remaja yang paling ketara adalah keruntuhan institusi kekeluargaan yang semakin berleluasa kala ini..sesuatu yang saya secara peribadi buntu dalam usaha mencari penyelesaiannya.

  2. “Betul, sekiranya generasi muda kukuh asas agama dan nilai ketimuran, mereka tidak akan membuang bayi.”

    Keyword untuk mengatasi semua kemungkaran ialah “Agama”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s