SPRM: Berperang menentang krisis persepsi

(Published in Sinar Harian, 1 December 2010 ).

Khamis lepas, saya dan rakan-rakan blogger, telah dijemput menghadiri sesi dialog bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sesi itu telah dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Hj. Abu Kassim Mohammed.

Selesai bercakap dan makan tengahhari, saya pulang ke pejabat seraya membelek-belek risalah dan lapuran tahunan SPRM yang telah dibekalkan kepada kami. Tidak sampai 15 minit, saya tolak ke tepi bahan bacaan tidak berjiwa itu.

Bila bercakap tentang jenayah yang menjadi kudis terbesar dalam hidup kita – rasuah – saya perlu menulis dari hati, bukan dari statistik dan kenyataan rasmi SPRM.

Sebelum saya tersasar jauh dari nas perbincangan, saya ada pengalaman peribadi berhadapan dengan pegawai SPRM. Kami pernah bertikam mulut dalam kamar majistret, di mana saya mempertahankan hak asasi anak guam, sementara pegawai SPRM pula membela hak suruhanjaya dalam satu perbicaraan lanjutan tahanan reman.

Tidak keterlaluan jika saya simpulkan bahawa, rata-rata pegawai SPRM, kurang pengalaman. Kata orang tua-tua, ilmu mereka belum cukup dalam. Mereka muda, gugup dan tidak bersedia sebelum masuk ke dalam kamar mahkamah.

Dalam kata-kata lain, mereka ini tidak fasih susur-galur undang-undang dan kes-kes yang telah diputuskan terlebih dahulu (precedent).

Tenyata, pegawai-pegawai SPRM bukan lawan terhandal sekiranya mana-mana peguam berhadapan dengan mereka. Maaf, itu hanya persepsi saya. Dan selagi kita masih berbicara di atas platform yang berlabel ‘persepsi’ ini, terus terang saya katakan bahawa SPRM masih berada dalam kancah tanggapan negatif masyarakat.

Di mata masyarakat, SPRM ini seperti harimau tidak bertaring.

Dalam sesi dialog tersebut, Abu Kassim telah menjawab semua soalan-soalan panas yang telah diutarakan oleh rakan-rakan blogger, dengan penuh hati-hati dan diplomasi.

Namun, ada suatu aspek yang jelas dalam tuturkata Abu Kassim: beliau nampak jujur dan telus.

Tetapi, sejauh mana kejujuran dan ketelusan Abu Kassim dapat menukar persepsi masyarakat?

Dari pengamatan saya, reputasi SPRM terus-terusan dirudum kontroversi dari kes-kes berprofil tinggi seperti: Teoh Beng Hock, skandal PKFZ, kes bekas menteri besar Selangor yang telah membuat ‘lawatan sambil belajar’ ke luar negara dengan mewah dan mempunyai sebuah ‘istana’.

Apabila saya bertanya tentang status kes bekas menteri besar itu, Abu Kassim menjawab dengan nada mendatar: SPRM tidak boleh menyabit seseorang hanya kerana masyarakat menyampah dengan bekas menteri besar tersebut.

Tambah Abu Kassim lagi, ada banyak kes-kes berprofil tinggi yang masih berada ‘dalam siasatan’.

Dari pengalaman rakan-rakan peguam yang pernah mengendalikan kes rasuah, beban bukti untuk menyabit-salah jenayah ini sukar dicari.

Contohnya, seperti kes seorang datuk yang pernah menjadi ahli majlis tertinggi UMNO (maaf, kalau sebut nama nanti saya kena saman), di mana saksi utama telah bertukar menjadi hostile.

Itu bukan salah SPRM. Dan kes tersebut telahpun digugurkan oleh mahkamah. Tidak bersalahkah beliau? Sila tepuk dada tanya minda, aduhai pembaca budiman.

Apa yang perlu dititikberatkan oleh SPRM adalah faktor masa. Pendedahan kes penyelewengan bekas menteri besar itu mendapat liputan meluas dari akhbar The Sun.

Semua orang sudah baca. Jadi, sekiranya kes seperti itu lemau di minda rakyat, mereka akan mula menuding jari ke arah anda.

Saya faham benar bahawa SPRM adalah badan yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Jadi, tugas SPRM dianggap functus officio (selesai) apabila tamat siasatan.

Kuasa untuk menentukan samada orang yang disyakki akan dituduh di mahkamah atau tidak, adalah hak mutlak Jabatan Peguam Negara.

Saya juga faham bahawa fasal siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum. Mungkin cukup sekadar SPRM memberitahu media bahawa siasatan terhadap kes si polan atau si anu, sudah selesai.

Unit maklumat korporat dan media SPRM perlu mengambil pendekatan lebih agresif. Jawab segala pertuduhan dan cacian dalam media konvensional atau elektronik.

Sikap berdiam diri memeluk  tubuh apabila siasatan selesai dijalankan, tidak akan membantu dalam memperbaiki persepsi masyarakat terhadap anda.

Seperti yang telah saya luahkan kepada Abu Kassim, perkara persepsi masyarakat ini adalah perkara perang minda.

Dan perang minda tidak boleh dimenangi hanya melalui kenyataan akhbar dan editorial berbentuk puji-pujian semata.

SPRM perlu menjana kepercayaan dan mengubah tanggapan masyarakat terlebih dahulu, barulah proses transformasi jadi mudah.

Benar SPRM banyak menggalas beban yang telah ditinggalkan oleh Badan Pencegah Rasuah. Tapi itu bukan alasan konkrit untuk tidak menjadi suatu badan berpretij yang digeruni oleh segenap lapisan, dalam menentang gejala rasuah.

Mungkin enteng untuk saya menulis kerana saya tidak duduk di kerusi Abu Kassim. Tetapi dalam masa tiga jam saya bersama beliau, saya percaya Abu Kassim boleh menjadi nakhoda untuk menyelamatkan SPRM dari terus ‘karam’ di hati rakyat.

Tidak mengapa, itu masalah SPRM. Masalah anda dan saya adalah untuk melapurkan  apa-apa bentuk rasuah – samaada kecil dan besar – tanpa kondisi, tanpa prejudis.

Pesan saya kepada rakan-rakan (anda tahu anda siapa), sudah-sudahlah perangai membayar ‘duit kopi’ apabila ditahan polis trafik. Pakai tali pinggang keledar itu untuk keselamatan kita, bukan untuk keselamatan polis trafik! Aduh manusia…

3 thoughts on “SPRM: Berperang menentang krisis persepsi

  1. Salams Puan,

    Saya bersetuju dengan apa yg anda utarakan.Belambak kesah orang yg berprofil tinggi yg tetiba mewah dgn. mempunyai kereta 2 mewah n rumah d merata rata negeri d bumi tanah Melayu ni.Tiap2 penggal persekolahan orang2TAMAK ni akan membawa anak cucu mereka bercuti k luar negara.Ini bukan belaku d KL sahaja tetapi d daerah n negeri2 lain dari utara k selatan.Orang2 tamak ni selalunya bongkak n sombong n tidak sedar diri.Saya berdoa satu hari orang2 tamak ni akan d beri petunjuk oleh Allah.

    wawai

  2. Apa beza BPR dan SPRM? Organisasi sama, Akta sama, orang sama. Yg beza hanya tukar nama organisasi dan nama Akta. Dari BPR ke SPRM. Org semua sama.

    Mengikut Sheik Daud, former SFC BPR dan Hakim CA, BPR dulu tidak pernah hantar fail siasatan kepada AG. Buat apa? BPR ada DPP sendiri yg lebeh tahu mengenai kes rasuah dari Gani Patail. DPP BPR yg putuskan semua kes. Gani apa tahu? Dia specialize kes ‘sodomy’.

    Masalah dengan SPRM ni, pegawai nya takut dengan Gani Patail. Gani Patail simpan dan cold-storage fail siasatan, mereka tak berani nak warning Gani. Buat apa ada banyak DPP2 di SPRM kalau fail siasatan kena hantar pd AG Chambers. Dan yg menyedihkan, dbwh Akta SPRM, Ketua SPRM diberi semua kuasa sebagai DPP. Tetapi fail siasatan masih hantar pd Gani. Terlalu banyak bergantung pada Gani, itu sebab mereka tak well-verse dengan undang2.

  3. Assalamualaikum semua,

    Satu topik dan masalah yang cukup kerap didengar dewasa ini. Kenapa? Sehinggakan rasuah telah menjadi satu virus dalam masyarakat manusia semenjak berkurun lamanya dan sekarang semakin menjadi-jadi. Hanya satu sahaja ubat untuk penyakit ni, bukan BPR, Bukan SPRM tetapi ISLAM. Hanya dengan cara kehidupan Islam, iman dan taqwa dapat mengikis budaya rasuah ini. Jika hendak ditanya apakah puncanya rasuah? Jawapannya mudah, kurang didikan dan amalan Islam. Jika seluruh umat dari pemerintah sehingga kita orang bawahan amalkan agama Islam ini secara sempurna, dengan izin Allah semua umat akan jadi sempurna amalanya..muamalatnya, muasyaratnya dan juga akhlaknya.

    Rasulullah SAW sudah berpesan melalui yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud : “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

    Cukup mudah nak faham. Pemberi dan penerima kesalahannya sama sahaja disisi Allah SWT. Tetapi apabila kita tidak faham atau buat-buat tak faham maka kita akan ingkar dan masalah ini akan jadi virus yang parah.

    Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud : “Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

    Dan didalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 188 Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

    Jadi perkara pokoknya kita patut amalkan agama Islam ini secara sempurna. Bagaimana? Taat segala perintah Allah SWT, tinggalkan segala laranganNya dan ikuti Sunnah Nabi SAW. Pasti dan pasti semua masalah berat maupun ringan akan luput daripada kehidupan manusia. Orang kata cakap senang tetapi nak buat susah. Bukti sudah ada? Kehidupan para sahabat yang taat 100% kepada agama, 2/3 dunia dalam genggaman mereka sehingga Parsi dan Rom tumbang melata tetapi apabila umat Islam lalai dengan habuan dunia, kehidupan dunia, orang kafir sudah tidak gentar dengan umat Islam.

    Buktinya? Nabi SAW bersabda: “Aku tinggalkan bagimu dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu kitab Al-Quran dan Sunnahku (hadis)”. Ditambah lagi Qur’an sendiri menyatakan dalam surat Al-Furqon ayat 30. Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”. Menyoroti masalah ini Ibnu Taimiyyah mengatakan: “Barang siapa yang tidak membaca Quran maka dia telah menjauhi Quran, dan barang siapa yang membaca tapi tidak pernah merenungkan isinya maka dia telah menjauhi Quran, dan barang siapa yang membaca lalu merenungkan isinya tapi tidak pernah mengamalkan nya maka dia telah menjauhi Quran juga”. Tapi hal ini ditujukan kepada orang yang berbeda kemampuan pemahamannya terhadap Qur”an.

    Perkara kedua adalah umat Islam kini tidak bersatu, tapi berpecah-belah. Padahal umat Islam diperintahkan untuk bersatu.

    Allah sudah mengingatkan kepada kita dalam surah Ali Imran : 103, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

    Maaf jika ulasan ini panjang sikit, tetapi untuk peringatan diri saya dan semua di sini.

    Waallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s