Interlok: Mencari Abdullah Hussain

(Published in Sinar Harian. Click here for the online version)

 

Sekiranya kisah pelacur dalam novel Salina dan cerita si petani bukit, Lahuma, dalam Ranjau Sepanjang Jalan, telah membikin saya jatuh cinta dengan sastera Melayu, novel The Adventure of Huckleberry Finn pula, telah merintis jalan pembacaan saya dalam kesusasteraan kontemporari Amerika.

Dalam novel yang mengisahkan perihal dua orang budak lelaki, Tom Sawyer dan Huckleberry Finn itu, perkataan ‘nigger’ telah digunakan tanpa had dan sempadan, dalam huraian kisah yang ditempatkan di tebing sungai Mississippi itu.

Perkataan ‘nigger’ yang dikira kurang ajar dalam peradaban moden hari ini, telah menjadikan novel itu didebat hebat di kalangan rakyat Amerika. Baru-baru ini, saya dapat berita bahawa cetakan terbaru novel tersebut telah menggantikan terma ‘nigger’ kepada ‘slave’.

Bagi saya, manusia ini aneh sekali. Perkataan ‘nigger’ dan ‘slave’ itu, walaupun berkaitan, tidak sama maknanya. Kenapa perlu diubah karya sebegitu hebat atas nama hipokrasi dan kerana ingin menjadi politically correct?

Kenapa saya memilih untuk berbicara soal novel tulisan Mark Twain itu, minggu ini? Sebenarnya, hati sedang menggelegak dengan sesetengah pihak yang sedang rakus mempolitikkan novel Interlok yang menggunakan perkataan ‘paria’ dalam jalan cerita.

Yang paling kuat menyalak agar novel itu digugurkan sebagai teks sukatan pelajaran kebangsaan atau diharamkan terus, entahkan sudah membaca keseluruhan novel, entahkan tidak.

Mengambilkira kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan di dada media, saya ingat mereka ini belumpun habis membaca Buku Satu tentang keluarga Seman dalam novel Interlok itu.

Pertama sekali, kita jangan jadi orang buta pengetahuan, perkataan ‘paria’ (seperti juga perkataan ‘nigger’) ada definisinya dalam kamus. Tidak payah saya menjadi burung belatuk mengulang-ngulang maksud perkataan itu.

Perkataan-perkataan itu juga ada sejarahnya, ada susur galur dan asal terma-terma sebegitu digunakan dalam lenggok bahasa percakapan kita seharian.

Keduanya, novel Interlok itu genrenya fiksyen. Kalau sesiapa ingin mencari maklumat tentang sistem kasta atau asal perkataan ‘paria,’ sila cari rujukan sejarah, bukan fiksyen.

Dalam fikyen tidak semua perlu masuk akal atau disokong dengan fakta tepat. Anda fikir,  bila J.K. Rowling menulis lalu menjadikan  Harry Potter dan rakan-rakan sekolah beliau terbang atas penyapu ajaib itu, masuk akal?

Mengharamkan Interlok, menggantikan perkataan ‘paria’ dengan sesuatu yang lain, hatta menarik teks itu dari sukatan pelajaran kebangsaaan tidak akan mengubah apa-apa. Integrasi antara tiga kaum utama di negara ini pernah diduga dan telah melalui pelbagai cabaran melalui sistem pecah dan perintah.

Kita jangan jadi Pak Pandir, pembaca budiman, perkara mengharamkan buku tidak akan dapat memadamkan sejarah, menyangkal hakikat atau menjadi cermin kepura-puraan bahawa perihal integrasi kaum di negara ini, kononnya molek-molek belaka.

Sebaliknya ia akan menjadikan generasi di bawah kita menjauhi sejarah dan enggan mengambil iktibar dari apa yang pernah berlaku. Mereka tidak akan faham kenapa perkataan ‘paria’ itu dianggap taboo, tanpa mengetahui bagaimana terma itu boleh digunakan pada asalnya.

Abdullah Hussain telah menegaskan bahawa, sebagai seorang penulis beliau bertanggungjawab untuk membentuk pemikiran masyarakat melalui karya-karya beliau. Abdullah berpendapat bahawa semangat muhibbah antara kaum india, cina dan melayu ketika itulah yang telah membentuk Malaysia pada hari ini.

Apa yang membuat saya tergelak besar adalah kenyataan Presiden MIC yang berbunyi: “There is no consensus to say the book was in line with the 1Malaysia spirit. People should not be made to believe this. If so, we are in for a big setback.”

Aduhai… Karya sastera yang ditulis pada tahun 1971 itu juga perlu menurut konsep 1Malaysia, Datuk G. Palanivel?

Walaubagaimanapun, saya tidak kepingin untuk mengulas kelakuan sekumpulan manusia yang membakar naskah-naskah Interlok di hadapan Majlis Perbandaran Klang baru-baru ini, kerana saya enggan membuang masa mendidik orang jahil pengetahuan dan tidak tahu menghormati buku.

Mereka ini saya anggap nyamuk semata, ilmu tiada, bunyinya pula bising dan selalu menyusahkan orang.

Mungkin saya jahil dalam sudut politik dan pengunaan perkataan-perkataan yang sesuai. Mungkin juga saya menggunakan elemen emosi untuk membela karya-karya penulis tempatan dan antarabangsa.

Tetapi tidakkah kita terfikir – hanya untuk seketika – karya itu hak mereka, idea mereka, dan pernah menjadi ‘kekasih’ mereka. Siapa kita untuk mengharamkan atau menukar apa-apa? Ukur baju di badan sendiri, duhai politikus bijaksana.

Seperti pesan Pak Abdullah ketika diwawancara baru-baru ini: “Baca secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis.”

Sekonyong-konyong selepas membaca pesanan itu, saya teringat kepada ayat Al-Karem pertama yang telah diturunkan di gua Hiraq: Iqra’. Bermaksud, bacalah. Sekira kita tidak membaca, maka kita adalah antara orang-orang yang berada dalam kerugian.

11 thoughts on “Interlok: Mencari Abdullah Hussain

  1. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” Al-Baqarah : 120

  2. Mana sama orang berilmu dengan yang tidak berilmu. Yang menentang buku Interlok bukan sekadar bodoh tetapi bodoh sombong yang tidak dapat membezakan sebuah karya dengan kata nista. Mereka tidak ubah seperti manusia yang takut dengan bayang2 sendiri…. minda yang masih dihantui kasta.

  3. salam,

    saya amat bersetuju dengan hujah yang diketengahkan oleh cik elviza. sebenarnya, hasil tulisan ahli sastera adalah berdasarkan kepada pelbagai sumber namun realiti selalunya menjadi bahan rujukan sebagai item sejarah yang dapat dipelajari oleh generasi yang akan datang. banyhak mesej yang disampaikan dan pembaca perlu menggarap dengan akal yang penuh ilmu dan kematangan. namun realiti juga mempamerkan bahawa manusia itu banyak kelemahan dan keegoan.
    isu sensitif tidak dapat dikikis dari realiti kehidupan.kadangkala di sudut kiri,kanan,hadapan dan belakang sentiasa menanti untuk menikam kita oleh pelbagai isu yang serba salah. namun kita kembali kepada hukum Allah swt.
    yang ditulis telah berlaku maka generasi kini dan akan datang perlu mengambil yang positif dan hindarkan dari mengAMALKAN perkara yang menyakiti hati orang lain waima siapa dia dan di sisi Allah itu yang tinggi darjatnya ialah mereka yang taat kepada segala suruhanNya.
    apa yang berlaku ada hikmahNya. semoga setiap kita mendapat pengajaran dan muhasabah diri. kepada karyawan,janganlah dugaan ini melemahkan kita kerana di luar sana ramai yang menyokong usaha murni kita berkarya untuk kepentingan umah. wallahua’lam

  4. Harap saudara akan menerima juga sebuah karya yang dihasilkan menggunakan perkataan menghina keturunan saudara berdasarkan fakta sejarah….

  5. nak sokong susah tak sokongpun susah. pandang dari sudut sastera tak de salah. pandang dari sudut kaum yang kena, macam tak kena. pandang satu kotak dari sudut atas nampak satu bentuk, pandang dari sisi kotak nampak bentuk lain. namun kotak tetap kotak. rambut dah tak sama hitam dan hati pun dah tentu lain. letak diri kita kat tempat orang lain. apa rasa ? jadi apa jalan tengah supaya masing-masing nampak benda yang sama ? boleh anggap kita pandai tapi jangan anggap orang lain bodoh.

  6. Sis,
    Saya amat kagum masih ada sebilangan rakyat Malaysia yang rasional dalam membincangkan isu interlok ini. Sebagai seorang pembaca, saya hairan mengapa ramai lagi yg terus menyongsong arus pemikiran sempit tanpa ada cubaan utk meleraikan pemasaalah yg terbuku dalam novel ini.

    Saya sendiri berada dalam dilemma di kala ini kerana di dalam di dlam kajian yang sedang saya lakukan sekarang akan saya gunakan perkataan ‘keling’ yang sepertimana ‘pariah’ itu sendiri mempunyai susur galur dan sejarah yg begitu unik.

    Apa pun, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari elviza di atas huraian yang senag difahami dan relevan. Keep them coming..

  7. Bangsa manakah yang sebenarnya buat kaum Paria rasa terhina dan siapakah yang sebenarnya menghina dan memberi penghinaan kepada kaum Paria?.

    Kaum-kaum yang menghina Kaum Paria adalah Kaum Brahmin, Kaum Ksatriya dan Kaum Vaisya yang datang dari Bangsa India sendiri.

    Saya difahamkan sistem Kasta ini berpunca dari Teks Suci Falsafah Hindu, Bhagavad Gita yang membahagikan peranan-peranan sesuatu kaum dalam Bangsa India.

    Justeru itu kenapa buku Intelok yang dibakar? Kenapa bukan Bhagavad Gita?.

    Adakah kaum Brahmin, Kaum Ksatriya dan Kaum Vaisya ini bersetuju sistem ini dihapuskan?. Jika gelaran Paria diganti kepada Sudra, adakah Kaum Brahmin, Kaum Ksatriya dan Kaum Vaisya akan menggunakan perkataan Sudra?. Adakah kaum-kaum ini akan membenarkan keturunan dari kaum mereka berkahwin dengan orang-orang dari kaum Sudra?.

    Jika perasaan marah ini kepada Bangsa sendiri, kenapa marah ini ditunjukkan kepada Bangsa lain?. Siapa yang tidak menghormati siapa sebenarnya?.

  8. menarik juga perbincangan ini… ada juga orang yang tak nak guna perkataan yang ada makna unik dan tersendiri. macam-macam la… kalau kita tukar nama “tandas” dengan “bilik wangi” sekalipun, ia tak mengubah apa-apa makna dan fungsinya yang sebenar….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s