Kemoterapi & Kopi

(Published in Sinar Harian. Click here for online version)

Mungkin saya bisa menulis perihal revolusi Mesir dan negara-negara Timur Tengah yang sedang berantakan paksi pentadbirannya – ah, membosankan.

Mungkin juga saya bisa melontar komentar tentang sambutan hari Valentine yang diharamkan oleh JAWI dan JAIS – juga membosankan.

Bagaimana sekiranya saya berkalam tentang soalan yang sering diramalkan dalam ruangan editorial akhbar tempatan: bilakah tarikh sebenar pilihanraya umum yang ke 13? Aduh, kepala saya pusing bila bercakap tentang politik.

Hakikatnya, kebelakangan ini, ada beberapa anekdot yang telah terjadi, lantaran memaksa saya untuk melihat kehidupan dalam perspektif yang berbeza.

Januari lalu, hampir setiap petang saya berbual panjang ketika menemani sahabat baik saya, Farhan, di wad tingkat 5, Sime Darby Medical Centre.

Sahabat baik saya itu sedang menahan sakit, angkara racun-racun rawatan kemoterapi yang mengalir dalam tubuh, untuk membunuh sel-sel darah yang telah menjadikan beliau seorang pengidap penyakit, Non-Hodgkin Lymphoma Leukimia.

Persahabatan kami sudah tua di putaran masa, dari tingkatan empat sehinggalah sekarang, kami sama-sama menuju usia tua. Farhan yang saya kenali, walaupun ketika marah agak celupar mulutnya, adalah seorang sahabat yang suka ketawa dan makan.

Berhati besar, dan suara Farhan bila menyanyi, lunak sekali.  Tiada ada yang boleh membuatkan saya bersedia untuk melihat dia sakit sebegitu rupa, apatah lagi isterinya. Tetapi dia istimewa, walaupun didera dengan rawatan kemoterapi, Farhan tidak pernah mengeluh.

Antara perbezaan yang paling ketara adalah, bagaimana sahabat saya itu melihat kehidupan selepas dia disahkan mengidap leukimia. Hidupnya dilimpahi kasih-sayang, diri dimampirkan dekat dengan Ilahi, dan aktiviti selepas masa berkerja, penuh dengan perkara yang lembut di jiwa, seperti muzik dan fotografi.

Melihat Farhan sakit, sedikit sebanyak, telah mempengaruhi emosi saya. Segala kerenah politik dan isu semasa, sekarang tampak tidak sepenting mana di minda, dan sekiranya dipaksa juga, tulisan jadi hambar tidak bermaya.

Lelah melihat Farhan bertarung menentang kanser, saya teringatkan sebuah buku bertajuk, How Starbucks Saved My Life, yang memberi kesimpulan betapa hidup ini persis pusingan roda semata: adakalanya kita di atas, kadang-kadang di bawah.

Ketika pertama kali melihat tajuk tersebut di ruangan ‘new arrivals’ di Kinokuniya beberapa tahun lepas, desis hati, kenapa saya perlu baca apa-apa tentang Starbucks?

Fungsi kafe tersebut hanyalah sebagai tempat persinggahan saya untuk melepaskan ketagihan terhadap kafein dan espresso shots.

Tetapi, suhu panas di kota ini kerap menjadikan saya banduan sukarelawan di toko-toko buku. Dan entah mengapa, baru-baru ini, saya telah menghabiskan tiga jam, bertapa tanpa sebab dalam Borders, seraya menghabiskan 286 mukasurat buku How Starbucks Saved My Life itu.

Memoir yang membangkitkan inspirasi – bukan emosi – walaupun pada awal cerita, pembaca mungkin berasa simpati terhadap penulisnya, Michael Gates Gill, yang menjadi pelayan Starbucks setelah dibuang kerja sebagai eksekutif korporat di J. Walter Thompson.

Hidup Michaeal menjadi lebih buruk apabila dia bercerai dengan isterinya kerana mempunyai anak di luar nikah dengan wanita lain. Di usia 63 tahun, Michael mendapati dirinya tanpa keluarga dan wang. Beliau juga disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak dan tidak mempunyai apa-apa perlindungan insuran.

Walaupun tidak luar biasa jalan ceritanya, cara Michael melihat kehidupan setelah tidak lagi menjadi orang penting dalam syarikat besar, telah menarik minat saya.

Tema cerita mungkin sedikit menjolok mata, apabila Micheal kerap mengulangi konsep hubungan antara warga kulit putih dan afrika-amerika, namun penggunaan perkataan yang ringkas dan gaya penulisan bersahaja telah menyerlahkan kejujuran penulisan.

Cerita hidup Michael turut dikecam hebat oleh para pewaham dunia buku, di mana buku ini dilabel hanya sebagai bahan promosi semata, yang menyamar sebagai sebuah memoir.

Rasa sedikit menyampah apabila Michael terus-terusan mengulangi betapa hebatnya budaya kerja di Starbucks yang menekankan integrasi hormat antara pekerja dan pelanggan.Oh maaf, dalam bahasa Starbucks, pekerja dipanggil sebagai ‘partner,’ manakala pelanggan pula ditermakan sebagai ‘tetamu’.

Tetapi di akhir cerita mungkin kita boleh merumuskan sebegini: tidak kira apa kerja kita, kerja itu boleh menjadikan kita puas dan bahagia, sekiranya kita benar-benar ikhlas.

Hidup ini juga tidak selalu di atas, dan sekiranya kita berada di bawah atau sedang diduga Tuhan, kebahagiaan masih boleh dicari sekiranya kita melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Dan hidup ini jua – seperti mana kisah Farhan di Kuala Lumpur dan Michael di New York – hanyalah cerita. Terpulang kepada kita untuk menjadikan akhir cerita kita, sebagai pengajaran ataupun sempadan.

Sampai kita ketemu lagi minggu hadapan, moga-moga saya boleh memberi perspektif baru terhadap perkataan ‘cinta’ setelah menyaksikan teater muzikal Terima Kasih Cinta. Jumpa di Istana Budaya.

5 thoughts on “Kemoterapi & Kopi

  1. Sepatutnya sebagai orang Islam, kita menyokong pendirian JAIS dan JAKIM. Janganlah kita memperlekeh dan mempersenda usaha untuk mencegah kemungkaran demi kebaikan umat Islam. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71)

    Encik/Puan,

    ‘Membosankan’ itu tidak bermakna saya melontarkan pendapat terhadap isu Valentine baru2 ini ye? Pohon jangan sesedap rasa menentukan daya pemikiran saya. Creativity, flair dan gaya penulisan harus diambil kira. Kalau nak tahu conclusion, tengok perenggan akhir. Ada kena mengena dengan pendirian JAIS atau JAKIM ke? Saya nasihatkan encik & puan membaca dengan lebih banyak lagi, supaya tidak terkhilaf dan nampak jahil ketika memberikan komentar. Terima kasih.

    Elviza

  2. …saya peminat tegar penulisan dn hujahan Puan…ibarat pelangi petang melingkari lembayung senja….

    Salam Izhar,

    Terima kasih sejuta🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s