Terima Kasih Cinta

(Originally published in Sinar Harian & The Malaysian Insider on Feb 16, 2011).


Aduh! Saya ini kenapa?

Pulang dari menonton teater muzikal, Terima Kasih Cinta (TKC), saya termenung membazir emas masa sebelum mula menulis ruangan ini. Ingin tahu apa yang cuba saya lakukan? Memberi definisi terhadap frasa ‘cinta’.

Naif sekali bukan? Kerana saya sudah tahu cinta itu suatu yang universal; cinta itu tersendiri. Dalam konteks TKC, ianya bukan kisah lagenda, epik atau mitos yang perlu dihuraikan satu persatu.

Seperti juga kisah cinta saya dan anda, TKC adalah cerita yang berpaksikan tentang perasaan abstrak itu. Naluri insani yang menjadi dambaan hampir setiap manusia.

Teater TKC telah diadaptasi dari filem box office, Cinta, arahan pengarah tersohor, Khabir Bhatia. Berkelana dari layar perak ke pentas teater, TKC cuba memberi makna cinta dalam lima kisah yang berbeza tetapi bersangkut paut antara satu sama lain.

Menggabungkan sentuhan pengarah merangkap koreografer, Pat Ibrahim, dan komposer, Roslan Aziz, sebagai pengarah muzik, TKC akan berdendang di Istana Budaya dari 19 Februari hingga 6 Mac.

Mungkin plot lima cerita termasuk resolusi yang cuba disumbat dalam masa dua jam setengah di pentas, telah mencabar keupayaan karyawan-karyawan TKC. Peralihan dari babak ke babak sedikit mengelirukan.

Sekiranya anda tidak pernah menonton filem Cinta, agak sukar untuk meneka atau merumus mesej yang cuba disampaikan.

Keserasian (chemistry) antara pelakon juga kurang menyerlah. Dalam kisah Taufiq (Vince) dan Arianna (Nadia Aqilah), tarikan cinta antara mereka tidak sampai ke hati saya, malahan sesekali terasa hambar.

Watak Taufiq, nampak takut (intimidated) dengan Arianna, dan bukannya seperti seorang yang sedang memendam rasa cinta dalam diam terhadap perempuan itu – seperti yang dihayati dengan cemerlang oleh Pierre Andre dalam versi filem.

Watak Dian (Deja Moss) dan Dhani (Anding) juga tidak setara dalam filem, di mana Dian yang dilakonkan oleh Nanu Baharudin, telah menunjukkan kawalan emosi, intonasi dan ekspresi wajah seorang yang sedang bercinta dengan suami orang dan sedang mengalami konflik hubungan dengan saudara kandung.

Bagaimanapun, gandingan Norish Karman dan Toni Eussoff, termasuk Latif Ibrahim dan Sapura, ternyata membanggakan. Kemantapan vokal Latif dan lakonan keempat mereka telah meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

Si cilik, Nik Nur Amalin, juga berjaya mencuri hati saya dengan tarian dan kepetahan beliau berlakon di pentas.

Tetapi filem mempunyai kelebihan dari segi sinematografi dan boleh disunting berkali-kali sehingga pengarah berpuas hati. Teater tidak boleh begitu. Segalanya mesti sempurna di atas pentas yang kaku lagi mati itu.

Antara aspek yang paling menonjol dalam TKC adalah pemilihan lagu dan sususan muzik yang saya kira hampir sempurna. Sentuhan magis Roslan Aziz telah memberi nyawa kepada teater muzikal itu dari mula tirai persembahan dibuka sehinggalah ke akhir cerita.

Kombinasi lagu-lagu evergreen, yang merangkumi pelbagai genre termasuk pop, klasik, rock dan sentimental telah membangkitkan nostalgia dan menjadi halwa pendengaran penonton. Walaupun sudah berhari-hari keluar dari Istana Budaya, lagu pembukaan dan penutup TKC masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan bahawa rata-rata pelakon TKC mempunyai lontaran vokal yang bisa memukau sesiapa yang mendengarnya. Ketika Latif menyanyikan lagu Kopratasa, Pertama Buat Isteri, bulu roma di lengan saya meremang tinggi.

Dari segi vokal dan musik sahaja sudah cukup untuk menjadikan TKC suatu mercutanda yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana teater muzikal akan datang.

Bakat, koordinasi, koreografi dan kerjasama yang ditonjolkan oleh 21 pelakon tambahan teater muzikal ini amat menakjubkan.

Pentas TKC juga moden dan tidak sarat dengan hiasan picisan. Pertama kali saya melihat pentas bertingkat-tingkat seperti itu, adalah ketika menonton teater The Original Broadway Musical, The West Side Story, tetapi tata cahaya TKC masih perlu diperbaiki supaya penonton dapat menumpukan perhatian terhadap babak mana yang ingin ditonjolkan.

Kostum dan solekan pelakon-pelakon sederhana, tetapi tetap sedap mata memandang.

Seperti lumrah adaptasi yang lain, walaupun memakai acuan yang serupa, produk seni yang terhasil tetap tidak sama. Walaupun hati saya tidak terasa seperti disiat-siat ketika menonton filem Cinta, airmata tetap terjurai-jurai ketika menyaksikan babak  Airin melepaskan anak untuk dijaga oleh suami ketika berpisah – kerana cinta.

Secara peribadi, saya fikir TKC telah berjaya menjadikan cerita asal yang sarat  dengan emosi, menjadi lebih kontemporari yang turut diselitkan juga dengan elemen komedi.

Sekiranya benar fitrah cinta itu lembut dan lunak, TKC telah berjaya menyampaikannya. Musikal ini indah laksana Tarique, si bintang dinihari.

Dan untuk cinta dalam hidup saya, Jefree Zain, terima kasih.

  • Elviza dalam hati, berasa sungguh bangga dengan sahabat beliau, Johnny Bikin Filem, yang selalu percaya.

One thought on “Terima Kasih Cinta

  1. I loved the first seven minute of the movie, just a Zainal Abidin classic song and visuals of Kuala Lumpur. A lesson in film making ……

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s