Ombak Rindu: Magis Lensa Osman Ali

(Published in Sinar Harian, 7 December 2011)
 
Jika dari Indonesia, saya kagum dengan filem arahan Riri Riza. Beliau kreatif, berani menggabungkan elemen mimpi dan kesempitan hidup, lantaran meniup semangat ke dalam jiwa setiap perintis bangsa yang menonton karya adaptasi daripada novel-novel tulisan Andrea Hirata. 
 
Dari barat pula, saya terkesima dengan lakon layar tulisan Aaron Sorkin yang sarat dengan plot intricate dalam The West Wing, A Few Good Men dan The Social Network.
 
Di Bollywood pula apa kurangnya? Baru-baru ini, filem komedi atas pelantar persahabatan, 3 Idiots, bikin saya menangis. Aduhai, fitrah filem kadang-kadang mampu membuat insan jadi penasaran. 
 
Riri Riza menghantui minda saya sehingga hari ini. Riza bilang, protagonis dalam Sang Pemimpi punya ayah juara satu seluruh dunia. Saya juga punya ayah yang begitu, ayah yang menerapkan bahawa berjasa dalam seni sama kesannya dengan menabur bakti dalam bidang kedoktoran, guaman atau seni lakar.
 
Sekiranya hari ini ayah masih hidup, ayah pasti setuju dengan saya: Osman Ali, helang di langit perfileman negara, sudah mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan nama-nama gargantuan di atas. 
 
Kali pertama melihat sinematografi dalam filem seram, Puaka Tebing Biru, saya terus diburu rasa ingin tahu. Ternyata, karya susulan pengarah ini tidak menghampakan dalam Anak Halal dan Cun.
 
Bertitik-tolak dari Anak Halal, filem genre subculture di ambang konflik coming of age (maaf, saya tidak ketemu frasa ini dalam bahasa Melayu), saya jadi pemerhati tegar Osman Ali. 
 
Kali ini beliau mengarah filem genre cinta dalam melodrama – satu genre yang klise dan mampir paras bahaya sekiranya tidak mantap arahan dan garapan skrip – apatah lagi bila Ombak Rindu ini berdenyut dengan nadi cinta terlarang antara dua darjat.
 
Sekali lagi Osman menafikan pesimisme awalan saya, apabila beliau membuka tirai dengan adegan manis antara protagonis Izzah (Maya Karin) dan sahabat beliau, Mael (Bront Palarae) di tengah sawah dan stesen keretapi. Adegan Izzah dikasari Hariz juga merentap-rentap hati. 
 
Chemistry atas layar, lontaran Aaron Aziz dalam watak Hariz, berkesan sekali. Dengan yakin, watak ini menafikan tanggapan masyarakat kononnya lelaki mesti kalis air mata, songsang dalam menyuarakan rasa.
 
Sayang, rangsangan balas perasaan Izzah terhadap Hariz tidak sampai, tidak terasa bahangnya. Maya cemerlang dalam menghayati emosi Izzah yang dirudum rentetan peristiwa malang dan merasakan diri persis barang dagangan.
 
Ekspresi wajah Maya juga pelbagai dalam menggambarkan derita, bijak mencuri hati penonton. Tetapi Maya bukan Fauziah Ahmad Daud dalam Suara Kekasih, filem paling sempurna dalam menata perasaan seorang perempuan yang dinista dunia sebagai ‘tidak layak’ untuk memiliki cinta. 
 
Cuma adegan menangis Delimawati ketika dimandikan Izzah, agak meleret dan keterlaluan. Namun, gabungan mantap pelakon pembantu Zaidi Omar dan Normah Damanhuri di sepanjang durasi filem, bikin saya lupa pada dialog Delimawati yang tumpul.
 
Bront Palarae, dia dilahirkan untuk menjadi seorang aktor. Lakonan beliau bersahaja, telus, jujur dan kata orang putih, totally effortless. 
 
Filem ini juga mengekang tanggapan apabila Lisa Surihani berjaya membawa watak antagonis dengan meyakinkan. Lisa ini pemanis di layar perak, walau dalam watak antagonis masih mampu mengekalkan rasa cinta peminat, jauh lebih bagus dari lakonan beliau dalam Lagenda Budak Setan. 
 
Saya maklum bahawa setiap filem adalah karya usaha sama, a colloborative effort daripada setiap yang terlibat. Menelusuri aspek sama, Osman Ali berjaya menggabungkan simulasi sinematografi, seni lakonan, penataan bunyi dan suntingan untuk melindungi penulisan skrip yang saya fikir masih punya ruang untuk diperbaiki. Terimbas saya pada kata-kata Sidney Lumet: Melodrama is a much maligned genre. And I hope we can bring it back into fashion. 
 
Dan penulisan lakon layar, waima penulisan apa sekalipun, harus datang dari hati. Maksud saya, sekiranya menulis tentang cinta, si tukang tulis harus tahu perasaan universal itu. Jika tidak, impaknya hambar.
 
Lagu-lagu dalam filem ini juga meruntun hati dengan komposisi muzik dan lirik yang indah. Cuma keterlaluan diguna-pakai sepanjang filem sehingga jadi lemau. 
 
Mengarah karya adaptasi dalam garis masa ditetapkan amat sukar. Bila menulis novel, watak dan plot boleh dikembangkan dengan 150,000 patah perkataan. Tetapi bikin filem bukan begitu fitrahnya. Jadi saya sama sekali tidak terkejut jika penulis asal novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari, rasa terkilan. 
 
Setakat hari ini, cuma ada dua filem Melayu yang berjaya bikin saya menangis: Abang (1981) dan Ombak Rindu. Di atas platform pengarahan filem, magis lensa Osman Ali telah terselar jauh ke dalam naluri saya seorang perempuan. Anda pula bagaimana?
 
• Elviza juga seorang peguam dan penulis. Temui beliau di http://twitter.com/elviza
 
 

3 thoughts on “Ombak Rindu: Magis Lensa Osman Ali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s