Tatkala puisi tak lagi dibaca

Published in Sinar Harian & The Malaysian Insider

Ralat: Lebih setahun pena saya bercuti tanpa notis, kini sudah kembali. Selamat bertemu semula, pembaca budiman. Kita berjumpa  di ruangan ini, insyaAllah, setiap dua minggu sekali. 

Sejak kecil saya kagum dengan kemampuan Saleh Ben Joned menulis. Saleh cekap menggabungkan unsur puisi dalam konteks sosial dan politik semasa. Susur galur pemikiran atas kertas beliau jadi desiderata aktiviti pembacaan saya. Kesan yang ditinggalkan masih segar hingga ke hari ini.

Dinobat bagai raja penulisan sinikal, Saleh tidak pernah mengekang kebebasan pena beliau demi menjaga hati sesiapa. Elemen takut tak pernah wujud dalam karya-karya milik Saleh. Kalau dia tak suka, Pak Menteri pun kena.

Benar, di alaf digital sekarang Pak Menteri memang selalu kena, tetapi Saleh menulis di kala penerbitan konvensional era 80-an dan 90-an. Semuanya bahan bacaan masih bercetak ketika itu – tiada variasi internet. Kalau tak diluluskan si ketua editor, alamatnya simpan sahaja deraf itu buat kenang-kenangan.

Jadi begitulah, penulisan sosio-politik yang berunsurkan puisi dan sastera nilainya tidak terperi. Mampu membentuk minda dan pada masa yang sama ia turut menyuntik elemen tenteram ke dalam jiwa. Sekiranya saya diizinkan jadi pedantic sebentar, kosakata ‘sastera’ berasal daripada bahasa sanskrit ‘castra’ yang membawa maksud sebagai sesuatu yang indah-indah, baik dan lebih berfaedah.

Malangnya kini, bahan bacaan – terutama yang berlandaskan sastera dan puisi –berada di ambang hilang relevansi. Kombinasi kurang minat dan dominasi internet dalam hidup kita, telah mewujudkan regangan yang ketara kepada minat membaca cara lama, sementelah lagi bahan bacaan yang berasaskan puisi dan sastera. Pembaca budiman tak percaya? Cuba muatturun aplikasi internet ‘berhantu’ seperti Candy Crush dan Minion Rush. Satu kerja pun tak jadi, apatah lagi untuk membaca atau berpuisi.

Bila internet sudah bersultan di mata, beraja di hati, kita alpa dengan nikmat membelek buku bercetak dalam suasana yang sunyi. Dan makanan kepada jiwa itu lumrahnya menjurus kepada sesuatu yang halus seperti sastera, puisi, seni visual, seni pentas dan musik. Puisi misalnya — jika kena cara tulisan dan penyampaian — bisa jadi wadah untuk mengasah imaginasi yang kuat dan memberi inspirasi kepada cakrawala pemikiran kita.

Sekiranya kita mencatu peranan puisi dan sastera dalam kehidupan untuk memberi laluan kepada pembangunan ekonomi dan sosial semata, kita bakal mengeluarkan manusia robotik dalam masyarakat kita. Mendidik minda yang tertumpu kepada skil profesional masing-masing sahaja, akan membawa kesan negatif kepada fabrik kemasyarakatan dan menjuramkan lagi cerun polarisasi sedia ada antara kaum di Malaysia.

Saya sudah melihat cukup bukti – terutama di kalangan warga kota – yang hidup seharian semata-mata mengejar baki yang lebih banyak dalam akaun bank setiap bulan dan bertuhankan konsumerisme. Kita sering mengukur kejayaan melalui pencapaian fiskal dan fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar, apa yang terkebelakang lazimnya pembangunan jiwa dan rohani.

Sasterawan Shahnon Ahmad pernah berkata bahawa sastera itu adalah seismograf kehidupan. Dan saya tersenyum sumbing setiap kali frasa ini terlintas semula di kepala. Pertama kali saya membaca frasa tersebut, saya fikir, kenapa pula Pak Shahnon kata sastera itu persis alat pengukur gempa bumi. Apa firasat tersembunyi yang cuba disampaikan. Setelah ditilik, disiasat dan dikaji berkali-kali, maksud Pak Shahnon itu sebenarnya lebih menjurus kepada sastera itu sebagai kayu ukur atau penyukat kehidupan kita. Kehidupan paling baik itu lahir dari kombinasi fizikal, sahsiah dan rohani yang seimbang. Halus benar bahasa Pak Shahnon.

Saya terganggu (tapi tidak pernah meragukan elemen kebenaran) dalam rangkap kata-kata seorang penyair Indonesia, Ragil Suwarna Pragolapati: “Orang jadi penyair mustahil kaya, malahan kekal melarat.” Tetapi apa yang Ragil tidak kongsi dengan kita, jiwa seorang  penyair, penulis atau orang-orang seni itu jarang gundah-gulana.

  • Elviza lelah mengejar ruang kosong untuk membaca dan menulis.

One thought on “Tatkala puisi tak lagi dibaca

  1. This is such an excellent piece of writing. Certainly one of the best I’ve ever read in Malay! Simply brilliant and such a joy to read from start to finish. In fact, I feel disappointed when it ended.

    Sorry for just a short comment. Normally, I don’t write this briefly – it’s either “very long” (when compared to most people) or “not at all” (which is now becoming quite often because I seem to spend more time thinking and wondering without writing anything down). Have to go because Subuh is almost over…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s