Sekali tahu membaca, selamanya merdeka

Published in Sinar Harian on August 21, 2013.  

Sekali tahu membaca, kau merdeka buat selamanya. Begitu kata Frederick Douglas, si reformis sosial dan penulis dari Amerika. Himpunan aksara dan perkataan maha ringkas, tapi mampu jadi pelita  di kala malam-malam saya terasa terlalu gelita.

Mungkin buku, majalah terbitan berkala, e-book atau apa-apa medium bacaan bukanlah dewi dalam hati setiap orang, tapi kalau sudah jatuh cinta dengan membaca nescaya kita bakal bertemu dua polar paling ekstrem dalam hidup: bahagia dan derita.

Bahagia kerana jiwa dan minda kekal merdeka; bahagia juga kerana tidak akan pernah dijajah rasa bosan dalam kehidupan seharian. Tapi jika anda termasuk dalam golongan ploretariat seperti saya (yang belum sampai tengah bulan, gaji sudah habis) anda bakal derita kerana tidak cukup wang untuk membeli bahan bacaan baru, buat hilang ketagihan.

Tapi tanda ada di mana-mana bahawa suatu hari nanti buku dan bahan bacaan bercetak bakal menemui ajal dalam siklus kehidupan kita yang semakin hari semakin menjurus ke arah kandungan digital. Ahad lepas sahaja dua kolumnis suratkhabar menulis tentang cinta masing-masing terhadap buku bercetak dalam nada yang tohor dan melankolik. 

Pak Awang Goneng dalam ruangan Elsewhere telah menyimpulkan bahawa buku bercetak merupakan sambungan kepada kotak memori beliau. Tradisional dalam memilih medium bacaan, Pak Awang berkarya di tengah-tengah lambakan buku-buku dan nota-nota yang dicatat atas mukasurat – creative mess, kata orang putih. Wong Chun Wai juga begitu dalam ruangan On the Beat, apabila dia memberi mukadimah tentang cinta kepada buku dengan penuh gaya: “I love the smell of print.

Dan beberapa tahun lepas, semasa berada dalam kemarau idea, saya menulis tentang cinta kepada bahan bercetak dalam nada yang merembes teles. Langsung enggan menerima kehadiran bahan bacaan digital sebagai alternatif, walau ianya mungkin pilihan yang lebih selesa. Bukan saya percaya kepada luddism atau terikat nostalgia, tapi sungguh, memegang buku secara fizikal itu menghantar nikmat yang tidak terperi dalam diri.

Tapi desas-desus yang bertiup dari Silicon Valley mengatakan buku bercetak sudah lapuk dek penetrasi internet yang semakin galak dewasa ini. Industri buku bercetak bakal mengalami nasib yang sama seperti industri muzik, di mana muat turun digital telah menenggelamkan jualan cakera padat, sekaligus menjunamkan perniagaan menjual rekod dan cakera padat seantero dunia.

Kesenjangan antara bahan bacaan bercetak dan digital sudah lama kita ketahui, cuma belum sampai waktu untuk kita betul-betul memilih hanya satu wahana sahaja. Terpulang masing-masing bahan bacaan dalam bentuk apa jadi pilihan. Di persimpangan ini, e-book atau majalah digital punya kelebihan di mana mereka jauh lebih murah berbanding dengan buku bercetak.

Sebelum melanggan majalah kegemaran melalui iPad, bertahun saya berbelanja sebanyak RM116 untuk empat kali terbitan berkala dalam masa sebulan. Namun, peralihan langganan daripada majalah bercetak kepada digital, telah menyaksikan penjimatan sebanyak RM97 sebulan!

Bayangkan, kandungan bacaan yang sama dengan rentasan harga yang sangat berbeza. Juga langganan digital telah membolehkan saya membaca majalah tersebut pada hari yang sama ia diterbitkan di New York, saya tidak perlu menunggu majalah itu dipos atau naik kapal berminggu lama sebelum sampai ke dalam peti pos.

Saya tidak ragu bahawa suatu hari nanti buku dan majalah bercetak bakal hilang dalam pasaran, tapi proses kehilangan itu masih bisa dilewatkan. Proses penulisan, percetakan dan pemasaran sesebuah buku itu tidak asing atau sendirian, mereka saling berkait rapat terutama semasa buku itu berada di pasaran.

Secara peribadi untuk saya, berjalan dari rak ke rak di kedai buku persendirian (bukan rak-rak di rangkaian kedai buku gargantuan) dan berjumpa karya yang lain dari yang lain, masih memberi ketenangan dalam labirin minda.

Kedai buku persendirian yang lazimnya berada di bawah naungan si pencinta buku tegar seperti Skoob dan Silverfish, mampu memanjangkan hayat buku bercetak kerana mereka menjual buku dengan cinta.

Dan sekiranya anda seperti saya, tak kira di atas antelas mana kita letakkan buku itu – samaada bercetak atau digital – cinta kepada membaca itu tetap sama. Kerana bukankah fitrah cinta selalu menerima dan memaafkan setiap perbezaan?

  • Elviza teringin untuk jadi penulis, tetapi kerap hilang dalam puisi.

2 thoughts on “Sekali tahu membaca, selamanya merdeka

  1. Saya tidak pandai berkata-kata, malah menulis pun tersekat-sekat juga, tetapi membaca kata-kata di sini memang mampu membuat si bisu berbicara🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s