Fatamorgana atau tradisi?

[Via other links: Sinar Harian & TMI, 2 Oct 2013]

Setiap kali panggung Mak Yong dibuka dengan adat bertabuh dan mengadap rebab, setiap kali itulah perasaan takut menjajah seluruh punca deria. Kurang pasti berapa usia saya ketika itu, mungkin dalam lingkungan antara 10 hingga 13 tahun. Di pedalaman Kelantan itulah tempat saya pertama kali mendapat pendedahan seni taridra Mak Yong.

Entah mengapa tetapi gabungan bunyi serunai dan rebab, lentik jemari si penari, suara dan lirikan mata protagonis taridra itu nyata memberkas, lalu menyentuh seluruh rawan. Saya gementar. Namun, gementar tidak bererti saya pulang ke rumah sebelum tamat Mok Yong, Anak Raja Gondang, Raja Bongsu Sakti dan Dewa Muda bercerita. Di pentas Mak Yong mereka hidup dalam dua alam: alam nyata dan alam dewa-dewi.

Taridra Mak Yong di awal 80-an, masih jadi medium hiburan pilihan. Rata-rata penduduk yang digilis kesempitan kewangan atau dihimpit kesederhanaan (yang sebenarnya hampir pada tahap miskin), bila dapat menonton Mak Yong, indahnya bagai Sahara ditimpa hujan. Mungkin dalam sempit dan sederhana itu mereka tahu, seni adalah satu-satunya cara untuk lari tanpa meninggalkan kehidupan sebenar.

Susur galur sejarah Mak Yong bukan sedikit. Gemalai taridra yang lazimnya dipentaskan di padang terbuka itu berasal dari Pattani, Thailand. Di Malaysia, Mak Yong mendapat tapak dan terus bermaustatin di negeri Puteri Saadong.

Jika mengikut tutur orang tua-tua, Mak Yong asalnya dipersembahkan eksklusif untuk para bangsawan dan golongan istana. Namun Mak Yong telah diturunkan kepada hamba rakyat untuk menghormati semangat padi atau mengubat penyakit kronik.

Kemasyhuran tarian Mak Yong mula hilang sengat setelah British menjajah Tanah Melayu dan kejadian banjir paling buruk dalam sejarah Kelantan – kata nenda saya, “boh air meroh” – pada tahun 1926.

Metafora teaterikal dan nilai estetika Mak Yong luntur dihakis peredaran zaman dan perkembangan muzik sejagat. Era joget yang menyusul pula langsung tidak membantu taridra lama ini untuk kekal relevan di mata masyarakat.

Selagi kita ini manusia, kita akan selalu menghakimi. Sejak kecil saya mendengar desas-desus tentang anak wayang Mak Yong yang kononnya punya moral kurang baik kerana antara mereka ramai yang menyandang status ‘janda’. Kenapa pula status janda dan moraliti mesti dibincangkan di atas platform yang sama, saya kurang pasti. Tidak sampai dek akal saya yang masih muda ketika itu.

Walaupun sedikit takut, taridra Mak Yong cukup mempesonakan di mata saya. Apabila dewasa saya sedar apa yang membuatkan seorang penari itu hebat, bukan kerana teknik yang dipelajari, tapi kerana mereka sungguh percaya dengan bidang seni yang dipilih.

Taridra adalah penzahiran bahasa jiwa dan Mak Yong punyai bahasa jiwa yang cukup sempurna. Malah kehebatan Mak Yong diiktiraf dunia apabila UNESCO menyenarai taridra ini sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity, iaitu pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya.

Bagaimanapun, tidak semua yang diiktiraf itu senang untuk diperjuangkan. Rakan Facebook saya, Dr. Zulkifli Mohamad, telah menulis tentang masalah yang membelenggu taridra Mak Yong,  antaranya adalah: Masalah kurang faham bahasa perantaraan, pengubahsuaian terlampau, kesan urbanisasi, tiada dana, tiada golongan pelapis, tiada promosi dan pendedahan media, juga kurang ahli fikir dan falsafah yang mampu memanjangkan hayat hidup Mak Yong.

Apa yang menyedihkan apabila taridra ini dianggap hanya sebagai suatu fatamorgana.

Kusut jadinya perjuangan anak seni apabila orang politik campur tangan. Pemerintah negeri sudah lama mengharamkan Mak Yong, kerana kononnya taridra ini bersifat mengkhayalkan dan membawa unsur-unsur tahyul lagi khurafat.

Macam saya selalu kata, politik tidak boleh dicampur aduk dengan seni, alamat nasib tak tentu haluan masa depan seni kita. Seni di tangan orang politik boleh diibaratkan seperti kera mendapat bunga. Bunga jahanam, wanginya hilang.

Di atas neraca antara tahyul atau tradisi, orang terakhir yang layak mengadili bukan ahli politik, bukan pembesar negeri, tetapi anak-anak seni itu sendiri. Jika pembesar negeri arif bijaksana sudah tentu anak wayang wajib dibuat kawan, bukannya lawan.

Seperti kata George Orwell: Semua bentuk seni adalah propaganda.

• Elviza masih percaya. Pohon bertemu minda di https://twitter.com/elviza

 

2 thoughts on “Fatamorgana atau tradisi?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s