Dalam Kenangan: Dalilah Tamrin (1967-2010)

(Published in Sinar Harian on 21 July 2010)

LANGIT PETANG di Tanah Perkuburan Kg. Labuhan Dagang menangis lewat Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi, saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.

Dunia penulis laman sesawang telah bertanggungjawab menemukan kami dalam lingkungan keakraban manusia. Persahabatan kami tidak tua usianya, baru empat tahun sejak pertama kali bertemu mata. Tetapi empat tahun itu getir. Apa yang saya belajar dari Dalilah, boleh diibaratkan seluas laut, setinggi gunung dan setala langit lepas.

Tuhan pertama kali menduga Dalilah ketika beliau berusia 37 tahun, di mana Dalilah telah didiagnosiskan mengidap kanser payudara. Bahagian payadara yang tercemar dengan kuman jahat itu segera dibedah dan dibuang jauh-jauh. Harap-harap sel-sel kanser itu tidak kembali mengganggu Dalilah. Selesai pembedahan payudara, enam kitaran chemoteraphy dan 24 sesi radiotherapy, Dalilah menarik nafas lega.

Tetapi rasa lega Dalilah cuma bertahan tiga tahun sehaja. Masuk tahun 2008, sekali lagi Tuhan menduga Dalilah. Kanser metastasis telah disahkan merebak ke bahagian hati, tulang rusuk, tulang selangkang dan rahang beliau. Penularan kanser di bahagian hati itu juga telah menempatkan Dalilah sebagai pesakit kanser kronik, tahap keempat.

Sekali lagi tubuh badan Dalilah menderita didera rawatan chemotherapy, yang bukan sahaja membunuh sel-sel kanser, tetapi juga setiap zarah sel-sel lain di badan. Tidak tertanggung mata melihat penderitaan Dalilah. Namun, berbekalkan dorongan suami dan anak-anak, Dalilah selesaikan juga enam kitaran DOCE chemotherapy dan lima sesi radiotheraphy.

Tidak juga mati kanser jahanam itu!

Pada bulan Julai 2009, para doktor dan pakar onkologi bijaksana telah memberi jangkaan bahawa Dalilah hanya ada 18 bulan untuk hidup. Ketika baru mengetahui diagnosis yang mengjengkelkan itu saya meradang, saya bertanya kepada Dalilah: Why do doctors love to play God? Dalilah tergelak besar sebelum menjawab: It would be worse it you let lawyers play God! Ah, Dalilah…

Ketika arwah masih ada, saya sering mengusik beliau, saya bilang: “Awak ini selebriti penyakit kanser!” Apa tidaknya? Sekiranya dijemput untuk ditemubual di stesen television atau berucap di hadapan pesakit-pesakit kanser yang lain, mutiara kata dan teks ucapan akan Dalilah susun dan rancang serapi mungkin. Elemen-elemen emosi diabaikan untuk memberi laluan kepada semangat dan harapan kepada pesakit kanser yang lain. Setiap kali Dalilah muncul di kaca television, ibu saya adalah antara penonton merangkap peminat setia beliau.

Dalilah bukan seperti pesakit kronik yang pernah saya temui. Tiada kanser di dunia yang mampu memadamkan semangat perempuan kuat ini. Walaupun mengidap kanser tahap keempat, Dalilah tetap berkeras untuk menjalankan tugas sebagai isteri, ibu, penulis laman sesawang dan buku, pejuang penyakit kanser, aktivis kemasyarakatan dan macam-macam lagi. Bukan sedikit jasa dan peninggalan arwah untuk dunia yang fana ini.

Sebelum Dalilah pergi, dia telah menghuraikan perjalan beliau menentang kanser dalam sebuah buku, Kanser Payudaraku, yang telah diterbitkan oleh Tinta Publisher pada tahun 2009. Beberapa bulan sebelum sakaratul maut datang menjemput, Dalilah sempat mengabadikan pesanan terakhir beliau dalam lagu KembaliKu PadaMu Ilahi.

Saya teringat kata-kata Dalilah ketika saya menangis melihat dia terlantar di katil hospital lewat setahun lepas: “Jangan menangis, Mish. Hidup ini sementara sahaja. Aku tunggu kau di sana ya? Kalau aku mati, kau boleh tulis pasal aku. Kau menulis sangat cantik, macam bidadari!” Sehingga sekarang, masih ada batu besar yang terlekat di kerongkong saya.

Rakan Dalilah, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyuarakan pendapat bahawa setiap kali selepas menziarahi Dalilah, semua orang akan pulang dengan hati riang. Aneh bukan? Lazimnya jika menziarah orang sakit, kita akan rasa sedih, terharu. Tetapi Dalilah yang saya kenal, memang pantang melihat walau sezarah kesedihan. Senyuman Dalillah lebar lagi murah. Ketawa dan jenaka jadi sulaman walaupun sedang perit berperang dengan chemotherapy.

Semenjak Dalilah sakit, tidak sekali saya mendengar dia mengeluh. Genap seminggu selepas Dalilah melakukan tawaf wida’ di Tanah Haram, roh Dalilah diangkat pulang ke Rahmatullah, pada tanggal 19 Julai 2010.

Sekiranya hari ini Dalilah masih hidup, beliau akan menyambut harijadinya yang ke-43, tetapi Tuhan lebih mengasihi Dalilah. Saya mohon maaf sekiranya garapan ini tidak secantik bidadari, sahabat, tetapi saya sudah mencuba sedaya kudrat.

Benar Dalilah sudah pergi, tetapi obor semangat beliau akan terus menyala dalam setiap hati yang pernah beliau sentuhi. Harimau mati meninggalkan belang, Dalilah mati meninggalkan semangat. Semoga roh Dalilah Tamrin ditempatkan di kalangan para solihin.  Tunggu saya di sana, Dalilah. Suatu hari saya juga akan pulang…

  • Elviza Michele Kamal merasakan titipan minggu ini hambar sekali, langsung tidak secantik bidadari.

35 thoughts on “Dalam Kenangan: Dalilah Tamrin (1967-2010)

  1. Salam,

    Sdr tersilap, titipan minggu ini jauh dari hambar, dan tidak secantik bidadari? siapa tahu? ada sesiapakah yang pernah bertemu bidadari? Isinya jelas, tulus, tulen dan ikhlas. Dengan sendirinya ia terpapar cantik, tidak perlu sebarang perbandingan. I wish someday someone would remember me like you did her.

    Benar, saya tidak sebertuah sdr kerana saya tidak mengenali RG secara peribadi namun semangat kentalnya terpancar melangkaui batas kekaca maya ini; dapat dirasakan. Keredhaan beliau amat mengkagumkan. Semoga ALlah menempatkan beliau bersama orang yang beriman.

  2. saya tak kenal dalilah secara peribadi tapi saya ikut blog arwah sejak dari zaman arwah mula-mula menulis dulu. saya akui susah untuk saya menyerap aura positifnya dalam setiap catatan, kadang-kadang terfikir “betul ke ada orang sepositif ni?” tapi agaknya itulah dia yang sebenarnya.

    yang pasti dalam kehidupan ni adalah kematian, moga arwah berada dalam limpah rahmat-NYA.

  3. Salam, ayat yang menceritakan tentang seorang bidadari tetap cantik seperti bidadari. Saya tidak mengenali beliau, hanya mengenali blog beliau dengan sepenuh hati. Bertuah sungguh puan dapat bersahabat dengan bidadari ini. Walaupun bukan pesakit kanser, semangat juang dan keredhaan almarhumah dengan apa yang diujikan allah kepadanya memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja untuk berazam kuat sepertinya. Alfatihah, semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh Allah senantiasa hendaknya dan ditempatkan bersama-sama orang2 yang soleh.

  4. Walaupun diri ini tidak mengenali arwah Kak Dalilah…tapi semangat beliau buat saya malu pada Allah…insaf dgn diri yang tidak tahu bersyukur…Moga arwah ditempatkan bersama org2 yang soleh.

  5. Saya and Wan Syarif (Minyakgaz.blogspot) bersama-sama memberi penghormatan terakhir, solat jenazah dan ke perkuburan. Selain manusia alam juga seakan meradhai kepulangannya kepangkuan ilahi. Suauasa redup dan gerimis mengiringi ketika solat jenazah dan membawa jenazah kekuburan antara petanda2 rahmat Allah yang biasa mengiringi kematian orang2 soleh. Masyaallah ada kebaikan tersendiri yang Allah pandang untuk beliau, insyaallah.

    Ya Allah ampuni dosanya, rahmatinya, jauhi ia dari fitnah kubur dan lapangkan kuburnya. Masukkanlah dia dan kami bersama-sama org2 yg mendapat kemenangan di akhirat dgn janji surgaMU. Jauihilah dia dan kami dari seksaan api nerakaMU. Ameen

  6. Kembalinya Dalilah ke rahmatullah amat menyayukan saya. Setiap hari saya menjengok blognya tetapi tertanya-tanya mengapa tidak dikemaskinikan. Saya mengenali Dalilah melalui persada maya dan menjadi agak akrab apabila sering menghantar pesanan ringkas bertanyakan kesihatannya. Kebetulan saya permah mengalami tribulasi yang sama apabila isteri memderitai kanser dan meninggal dunia pada 12 Februari 1995. Beliau pernah menyarankan saya menulis pengalaman menjadi penderita kanser sebagai renungan yang lain. Saya cuma mengeloh, walaupun seorang pensyarah dan sentiasa menulis tetapi tidak mampu berbuat seperti Dalilah yang amat saya kagumi tulisannya. Saya merasa agak terkejut apabila seorang wanita bersama-sama suaminya bertanya sama ada saya kenal dirinya atau tidak. Saya nyatakan tidak dan lantas beliau memperkenalkan dirinya sebagai Dalilah dan suaminya. Saya tiudak menyangka Dalilah dan suaminya sanggup meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan saya pada 17 Mei 2009. Beliau turut menukilkan dalam blognya kehadiranntya dalam majlis perkahwinan ini dan memanfaatkan zikir Mathurat yang dihadiahkan. Dalam pertemuan yang pertama ini beliau menghadiahkan buku Kanser payudaraku kepada saya yang terus akan menjadi kenangan abadi. Kepada MH bersabar di atas ketentuan-Nya. Saya pernah mengalami saat seperti saudara. Selama dua minggu selepas pemergian isteri saya tempoh hari saya merasakan dunia amat sunyi dan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah

  7. Kembalinya Dalilah ke rahmatullah amat menyayukan saya. Setiap hari saya menjengok blognya tetapi tertanya-tanya mengapa tidak dikemaskinikan. Saya mengenali Dalilah melalui persada maya dan menjadi agak akrab apabila sering menghantar pesanan ringkas bertanyakan kesihatannya. Kebetulan saya pernah mengalami tribulasi yang sama apabila isteri memderitai kanser dan meninggal dunia pada 12 Februari 1995. Beliau pernah menyarankan saya menulis pengalaman menjadi penjaga seorang penderita kanser sebagai renungan yang lain. Saya cuma mengeluh, walaupun seorang pensyarah dan sentiasa menulis tetapi tidak mampu berbuat seperti Dalilah yang amat saya kagumi tulisannya. Saya merasa agak terkejut apabila seorang wanita bersama-sama suaminya bertanya sama ada saya kenal dirinya atau tidak. Saya nyatakan tidak dan lantas beliau memperkenalkan dirinya sebagai Dalilah dan suaminya. Saya tidak menyangka Dalilah dan suaminya sanggup meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan saya pada 17 Mei 2009. Beliau turut menukilkan dalam blognya kehadiranntya dalam majlis perkahwinan ini dan memanfaatkan zikir Mathurat yang dihadiahkan. Dalam pertemuan yang pertama ini beliau menghadiahkan buku Kanser payudaraku kepada saya yang akan terus akan menjadi kenangan abadi. Kepada MH bersabar di atas ketentuan-Nya. Saya pernah mengalami saat seperti saudara. Selama dua minggu pertama selepas pemergian isteri saya tempoh hari saya merasakan dunia amat sunyi dan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah

  8. this is a very touching piece… Even though i nvr had the chance to arwah but by reading this; i can almost feel the pain. RIP

  9. alamak – nasib baik baca komen Haslinda… I will wait til later in the day to read your piece, dear… i need to pace myself…

  10. alam..saya adalah salah seorang peminat setia blog allahyarhamah..
    Sebak bila membaca tulisan u..semuga rohnya di rahmati Allah

  11. hati saya juga teramat berat ketika mengetahui yang beliau nazak..

    doa saya juga tidak putus untuk beliau..dan setelah selesai berdoa saya dapat tahu dia telah pun pergi menemuiNya…

    saya masih juga berdoa utk nya moga dia tenang disisiNya…walaupun saya tidak mengenalinya sedekat puan mengenalinya..

    terimakaseh kerana catatan ini…sinar harian tu saya tak dapat baca pun sebab tak tahu yang ada ruangan khas utk beliau…

  12. Jikalau wujud suatu persada di mana belasungkawa boleh dititipkan secara terus kepada yang telah pergi, obituari ini adalah antara yang terindah dari hati seseorang yang begitu terasa kehilangan seorang sahabat. Semoga Michele tabah dalam meniti hari-hari yang mendatang dengan memori dan semangat yang Dalilah perturunkan dan berkongsi padamu. Dalilah adalah seorang yang istimewa dalam hidup saya jua, tetapi tak mungkin bisa saya memutiarakan isi hati saya secantik ini, Michele…

  13. i love the way kak dalilah made me feel. yes…MM was right. setiap kali pulang bjumpa dengan kak dalilah, saya akan pulang dengan hati yang riand.

  14. i’m so deeply touched with ur sincere thoughts to allahyarhamah. i’m sure the late Dalilah must be a very nice person, too bad this is the first time i read about her.. i will keep reading her past write-ups because i’ve decided to be a really, really positive person than i am now. may Allah bless her and may she rest in peace. al fatihah

  15. Apa lagi yang boleh kita ucapkan..melainkan “dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali”… ada petanda yang pemergiannya dalam ketenagan dan kebahagian (wallahhua’aklam) setelah mengalami penderitaan sekian lama.

    Mungkin itulah yang dikehendaki Allah, sabar dan redha dengan ujianNya, walau seberat mana.

  16. Assalamualaikum, sungguh tersentuh setalah membaca catitan anda, anda bertual dapat berkawan dengan Dalilah. Saya juga salah seorang pesakit kanser tapi entahlah bila agaknya giliran saya pula akan mengikutnya. Mohon doa dari sahabat sahabat semua semuga saya pergi dengan tenang.

    Terima kasih atas segalanya

  17. Pingback: Dalilah Tamrin – amankanlah kepedihan ini | wahaza extra

  18. sis elviza, terima kasih banyak kerana nukilan yg sangat indah untuk sepupu kesayangan saya arwah kak Dalilah Tamrin. walaupun arwah sudah pergi meninggalkan kita semua , tapi semangatnya tetap ada bersama.

    kak dali, al-fatihah untukmu…….

Leave a comment