Pendidikan yang bagaimana?

(Sinar Harian – Januari 1, 2014)

Jakarta
14 Disember 2013

 

Salam dari bandara Soekarno-Hatta. Seperti yang pernah saya titipkan dari Doha dua tahun lepas, lapangan terbang masih suatu tempat yang aneh untuk saya. Terpuruk antara pelbagai zon waktu, terperangkap dalam transit antara destinasi, dipenuhi pula dengan fizikal insan yang berbeza dan bahasa yang pelik – persis dalam twilight zone sahaja. Lazimnya, masa terluang dalam penantian akan saya isi dengan memerhati gelagat manusia, tapi kali ini sorotan pendapat dalam The Jakarta Post telah mencuri perhatian saya secara total.

Gordon La Forge – seorang guru lawatan di Kalimantan dan Sumatra melalui program pertukaran pendidikan bilateral – telah menulis kepada sidang redaksi akhbar tersebut tentang pengamatan beliau selama berada dalam sistem pendidikan Indonesia. Beliau mendapati pelajar-pelajar Indonesia kerap meniru antara satu sama dan merujuk nota ketika menempuhi apa-apa peperiksaan.

Lalu saya terfikir, sejauh mana keberkesanan peperiksaan atau ujian dalam sistem pendidikan yang berhasrat untuk melahirkan insan syumul? Insan yang benar-benar cintakan pengetahuan dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut di jalan yang betul. Pujangga Inggeris, Robert Frost, punya pendapat berbeza tentang pendidikan secara amnya: “I am not a teacher, but an awakener.” Sekiranya tugas seorang guru itu untuk menyalakan obor, membakar semangat ingin tahu, mendorong rasa untuk menjajah setiap zon pengetahuan – bukan untuk mengajar secara robotik – maka pencapaian akademik tidak boleh dijadikan kayu ukur kecemerlangan seseorang.

Benar, peperiksaan peringkat nasional seperti Sijil Pelajaran Malayasia (S.P.M.) masih relevan untuk mengukur kecenderungan dan kemampuan seseorang sebelum melangkah ke menara gading. Apa yang dipersoalkan sekarang adalah sejauh mana keberkesanan peperiksaan atau ujian semester di peringkat sekolah? Perlukah kita bertungkus-lumus memastikan anak-anak meraih “A” dalam setiap matapelajaran?

Mari kita lontarkan pandangan ke arah sistem pendidikan Eropah, khususnya Finland. Finland telah membuat keputusan maha tepat 50 tahun lalu, apabila mereka membebaskan pendidikan negara dari sistem ortodoks. Secaranya ringkasnya, guru-guru di Finland mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan jalan terbaik dalam mendidik anak muridnya menghadapi kehidupan apabila dewasa kelak.

Finland juga tidak percaya pada ujian dan peperiksaan, hanya ada satu sahaja peperiksaan yang perlu ditempuh oleh pelajar-pelajar mereka yang setara dengan S.P.M. di Malaysia. Tiada sekolah swasta. Manakala orang-orang yang menentukan halatuju sistem pendidikan Finland adalah pendidik, bukan ahli politik.

Anak-anak di Finland meluangkan banyak masa di luar kelas dan pilihan matapelajaran mereka juga lebih unik seawal darjah satu lagi: Bahasa Finland, Matematik, Sains, Muzik, Sukan, Agama dan Kraftangan Tekstil. Kombinasi matapelajaran peringkat awal negara itu jelas menunjukkan mereka berusaha mencari jalan untuk melengkapkan insan, bukan mencipta robot. Hasilnya sekarang Finland dinobat antara negara yang punyai sistem pendidikan terbaik seantero dunia.

Saya percaya jalan pendidikan untuk Malaysia masih panjang. Tapi anak-anak perlu diasuh dari sekarang bahawa semua pengkhususan pekerjaaan itu mulia dan boleh menjamin keperluan ekonomi seseorang. Masyarakat perlu keluar dari kotak fikiran jumud yang mengagungkan bidang profesional sahaja. Walau saya kagum dengan kepintaran para doktor, jurutera dan arkitek, profesion yang sebenarnya paling hebat adalah perguruan. Kalau guru itu tidak bijak, mana mungkin dunia bisa matang seperti sekarang?

Bukan itu saja, kita juga perlu menitikberatkan bidang vokasional dalam sistem pendidikan negara. Kalau anak-anak tidak gah pencapaian akademik, jalan menuju cemerlang masih boleh dirintis melalui kemahiran. Cabang pendidikan vokasional itu saujana – antara lainnya bidang pentabiran, perniagaan, pertanian, teknologi maklumat, automobil, latihan makmal dan pustakawan – dan ia perlu diperluaskan lagi demi mempelbagaikan pekerjaan dalam negara.

Saya galas harapan pendidikan untuk generasi akan datang di bahu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Walau indah di kertas, perlaksaaan perlu dipantau habis-habisan jika kita mahukan hasil yang mantap. Jangan lupa, masalah PPSMI perlu dilangsai segera. Kita ini usah jadi enau dalam belukar, galak melepaskan pucuk sendiri tapi masa depan anak-anak tersangkal dalam megalomania orang lain.

Merintihlah watan, merangkaklah cendikiawan jika kita terus-terusan mengagungkan pencapaian akademik semata.

*Elviza masih mahu percaya. Beliau membebel di https://twitter.com/elviza.

1 thought on “Pendidikan yang bagaimana?

Leave a comment