Apa ada pada seni jalanan?

Sinar Harian, 18 September 2013

HAMZAH Fansuri melalui puisi Perahu pernah berpesan, muda datang hanya sekali dan muda yang sekali itu biarlah bererti. Tapi mengisi muda itu banyak pancaroba, ada 1001 macam petualang minda yang perlu dipilih dan ditampi dalam memburu kematangan insani.

Sekiranya tersalah asuhan atau terkhilaf ikutan, muda yang sekali itu bakal tersisa di jalanan–lantas kita nampak persis seperti insan tanpa sumbangan apa-apa untuk dunia.

Begitu pesan orang tua saya semasa saya kecil dahulu. Tapi sekarang saya mohon membangkang, kerana tak semua yang kurang elok itu atau bermula atau berakhir di jalanan.

Seni jalanan misalnya — hatta seni dalam bentuk apa sekali pun — mampu mendidik masyarakat sekiranya masyarakat tersebut bijak mentafsir maksud tersirat. Dalam norma kehidupan kita hari ini, seni jalanan ada di mana-mana, warga Kuala Lumpur mana yang tidak tahu tentang karya-karya seni visual di tebing Sungai Klang, di antara ibu pejabat Pos Malaysia dan Pasar Seni.

Malangnya, seni jalanan sering dikonotasi sebagai grafiti, lantaran ia diklasifikasikan di bawah aktiviti vandalisme. Tapi sebenarnya wujud garis jelas untuk membezakan antara seni jalanan dan grafiti.

Orang-orang yang percaya kepada seni, lazimnya, mengguna pakai teknik seni yang formal dan pemikiran kritis walau ketika berkarya hanya di tembok jalanan. Berbeza dengan contengan perkataan dan lukisan rengsa cacamarba (selalunya menggunakan cat tin yang disembur semberono) milik penconteng grafiti.

Kalau kena gaya, seni jalanan bisa jadi mekanisme propaganda paling berkesan sekiranya ketuntasan karya-karya tersebut, meluas sebarannya, relevan dan elusif maksud. Selain daripada itu, seni jalanan juga merupakan suatu bentuk eskapisme paling polos untuk mendidik minda dan jiwa yang merdeka.

Di samping itu juga, seni jalanan turut menggalakkan pengamalnya menjalani ekplosari minda dan memupuk kreativiti yang kental. Lazimnya seni jalanan yang penah saya lihat datang dalam medium paling ekspresif dan berani.

Di pundak seorang karyawan, walaupun kanvasnya cuma tembok batu di tebing sungai, dia masih mampu menyampaikan mesej memberontak dalam cara yang halus. Pihak berkuasa atau politikus terbabit, kalau faham tempelak yang cuba disampaikan pasti pahitnya terasa bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk dibuang sayang.

Seni itu boleh menggugat kesombongan orang yang suka memerintah hala tuju sesebuah bentuk seni apabila diberi sedikit kuasa, kerana seni itu kadang-kadang menakutkan.

Kalau mengikut pembacaan dan pengamatan saya yang tidak seberapa ini, Kuala Lumpur dan bandar raya-bandar raya lain dalam negara, mungkin perlu menimbang tara cara memperkasa seni jalanan yang pernah dipupuk di kota-kota lain seperti Jogja, Berlin, Tokyo dan Rio De Janeiro. Paling hampir dengan kita, kota Jogja telah menyaksikan pertumbuhan seni jalanan yang menjurus ke arah mesej berbentuk politik yang sihat dan diterima masyarakat setempat.

Selagi kita masih menelusuri naratif tentang seni jalanan, mengekang biarlah berpadan.

Kerana bila sampai soal seni dan ekspresi minda, mencegah yang melulu itu sia-sia. Buat saya secara peribadi, seni jalanan adalah sebuah proses evolusi di mana bentuk dan sumbangannya terhadap kemanusiaan sering bertukar, langsung tidak pernah berada di titik statik. Tiada undang-undang atau kekangan yang mampu menjajah ekspresi seni yang sebenar.

• Buat Elviza, muda yang sekali itu sudah hampir ke penghujung. Itu getir lagi menakutkan.

Leave a comment